SUSPEK kes samun dan rogol pekerja premis menjual pakaian wanita di Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu ditahan di dalam bilik hotel di Paya Keladi pada 2.45 petang hari ini. FOTO Zaid Salim.
SUSPEK kes samun dan rogol pekerja premis menjual pakaian wanita di Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu ditahan di dalam bilik hotel di Paya Keladi pada 2.45 petang hari ini. FOTO Zaid Salim.
Zaid Salim


SELEPAS hampir 17 jam diburu, suspek kes samun dan rogol di sebuah kedai menjual pakaian wanita di Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu, ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, suspek ditahan di dalam bilik hotel yang disewanya di Paya Keladi, Kuala Terengganu pada 2.45 petang.

Beliau berkata, suspek yang juga penagih dadah dipercayai menginap di hotel berkenaan selepas melakukan jenayah itu pada 9.50 malam tadi.

“Kami percaya selepas melakukan samun dan rogol, suspek melarikan diri dan bersembunyi di bilik hotel berkenaan bagi mengelak ditahan.

“Siasatan terhadap suspek sedang dijalankan dan akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman, pagi esok,” katanya.

Aidi berkata, suspek berusia 25 tahun dari Jalan Hiliran Parit Gali, Kuala Terengganu pernah ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

Sebelum ini, polis membuat tangkapan terhadap tiga lelaki berusia 30-an sejurus kejadian itu bagi membantu siasatan.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha keras anggota dan pegawai dan saya mengucapkan tahniah kerana dapat menyelesaikan kes ini dalam masa tidak sampai 24 jam,” katanya.

Dalam kejadian 9.50 malam itu, suspek yang memakai topi dan beg silang berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dikatakan memasuki premis berkenaan kononnya untuk membeli pakaian sebelum melakukan samun.

Selepas melakukan samun, suspek kemudian menarik mangsa keluar dari kaunter dan merogol wanita terbabit dalam premis berkenaan sebelum melarikan diri.

Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan lanjut.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Tiga ditahan bantu siasatan'

'Pekerja malang disamun, diperkosa [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 9:28 PM