Wan Mohd Zahari menunjukkan kenderaan yang digunakan oleh Geng Lekir, Geng Shafiq yang dirampas. FOTO Asrol Awang
Wan Mohd Zahari menunjukkan kenderaan yang digunakan oleh Geng Lekir, Geng Shafiq yang dirampas. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Polis Kuantan menumpaskan Geng Lekir dan Shafiq dalam kejadian samun berasingan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata dalam kes pertama membabitkan Geng Lekir, dua lelaki tempatan berumur 31 dan 39 tahun, ditahan pada 21 dan 24 Julai lalu.

Katanya, berdasarkan laporan, pihaknya menerima tiga laporan berkaitan kes samun yang mensasarkan warga asing sebagai mangsa di kawasan Gebeng dan bandar Kuantan.

"Dua lelaki terbabit menggunakan kenderaan Proton Waja dan Proton Satria Neo melakukan samun itu yang menyebabkan jumlah kerugian tiga kes itu berjumlah RM5,000 iaitu telefon bimbit, dokumen dan wang tunai.

"Bertindak atas maklumat, seorang lelaki ditahan di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang di sini pada jam 10 pagi 21 Julai lalu.

"Hasil pemeriksaan, dua kereta iaitu Waja dan Satria Neo serta dua pisau, beg silang dan beg pinggang dirampas. Susulan tangkapan itu, rakan lelaki terbabit ditahan di Kampung Seri Damai, di sini pada jam 9.50 pagi, 24 Julai lalu.

"Siasatan mendapati seorang daripadanya mempunyai empat rekod jenayah dan kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) sehingga 28 Julai ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun berkumpulan dan menggunakan senjata," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam kes Geng Shafiq pula, Wan Mohd Zahari berkata, dua lelaki tempatan berumur dalam

lingkungan 20-an ditahan berkaitan kes samun pada 22 Julai lalu.

Katanya, dua suspek, masing-masing ditahan di kawasan Pulau Manis dan Paloh Hinai, Pekan pada 25 Julai lalu.

"Berdasarkan laporan, polis menerima laporan daripada seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun disamun yang menyebabkan kerugian RM6,000 di sebuah kedai di Kampung Baru, Gambang di sini 22 Julai lalu.

"Dalam kejadian itu, dua suspek melakukan kegiatan itu dengan menaiki sebuah motosikal Yamaha Y15 dengan cara meragut beg pinggang mangsa yang menerima empat jahitan di kepala akibat terjatuh ketika bergelut dengan suspek

"Hasil ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamin dan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Mereka ditahan reman di bawah Seksyen 117 KPJ sehingga 1 Ogos ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 8:17 PM