Norizuan Shamsuddin


SEWA kereta untuk melakukan samun. Itu taktik dilakukan tiga individu termasuk seorang wanita yang menyamun kedai serbaneka 24 jam dan kedai runcit di Kuala Terengganu, Jumaat lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail berkata, tiga individu yang menaiki kereta Perodua Axia dikesan melakukan samun di sebuah kedai serbaneka di Kampung Ladang, di sini, kira-kira jam 9 malam.

Katanya, suspek sama turut dikesan melakukan samun di sebuah kedai runcit di Chabang Tiga, kira-kira 30 minit selepas kejadian pertama.

“Kita dapat mengesan kereta dinaiki suspek dan mereka berjaya ditangkap di hadapan sebuah hotel di Selayang, Batu Caves, pada jam 11 pagi semalam (Sabtu).

“Siasatan mendapati, suspek dipercayai turut melakukan samun di empat premis perniagaan sekitar Kuala Lumpur kira-kira jam 4 pagi sebaik pulang dari Terengganu.

“Suspek yang positif pil kuda kini direman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan akan dibawa ke Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Mess Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu, hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Aidi berkata, semakan mendapati semua suspek berusia 20-an tidak memiliki rekod jenayah lampau.

Katanya, modus operandi mereka adalah dengan meminta suspek wanita masuk terlebih dahulu bagi memantau keadaan sebelum suspek lelaki memakai topeng dan bersenjatakan pisau melakukan samun.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, Aidi menyaksikan penyerahan tugas antara Timbalan Ketua KJPJKK (Operasi) Terengganu, Superintendan Mohd Aluwi Hussain kepada Asisten Komisioner Noor Halim Nordin.

Menurut Aidi, beliau yakin kebolehan dan pengalaman dimiliki Noor Halim mampu menjalankan tugas sebagai KJPJKK Terengganu.

“Pengalamannya yang pernah bertugas di Terengganu pasti dapat membantunya menjalankan tugas dengan baik bagi menaikkan imej PDRM.

“Setakat ini, situasi jenayah bagi enam bulan pertama mencatatkan kenaikan 12 peratus membabitkan samun dan kes kecurian motosikal terutamanya di Kuala Terengganu, Besut dan Dungun.

“Kita menggerakkan elemen di semua jabatan untuk menjalankan operasi secara serentak selain mengadakan rondaan waktu malam bagi memberi tumpuan untuk menangani jenayah terutama samun dan curi motosikal ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 1:59 PM