Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Tiga termasuk dua wanita ditahan selepas disyaki terbabit dengan kegiatan samun bersenjata pisau di kedai dobi di Taman Belimbing, Bukit Tengah di sini, pada 30 April lalu.

Dalam kejadian pada 10 malam itu, mangsa berusia 19 tahun mendakwa disamun oleh seorang lelaki yang bersenjatakan pisau ketika berada di kedai dobi berkenaan.

Lelaki terbabit didakwa menarik rantai emas yang dipakai mangsa dan merampas telefon bimbitnya sebelum melarikan diri dengan motosikal bersama seorang wanita yang menunggu di luar kedai dobi berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, susulan itu dua suspek terbabit bersama seorang lagi wanita berjaya ditahan di sebuah hotel di Butterworth dekat sini, pada 4.15 petang Khamis lalu.

Menurutnya, semakan terhadap rekod lampau mendapati suspek lelaki mempunyai enam rekod jenayah dan positif dadah jenis methamphetamine, manakala dua suspek wanita tidak mempunyai rekod lampau dan negatif daripada pengambilan dadah.

"Kesemua mereka adalah warga tempatan berusia 20-an.

"Hasil siasatan yang dijalankan terhadap dua suspek pertama, polis berjaya menyelesaikan sebanyak tiga kes samun di daerah Seberang Perai Tengah dengan nilai kerugian sebanyak RM4,000.

"Seorang lagi wanita yang juga rakan kepada suspek wanita mengaku tidak terbabit dalam kejadian itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, siasatan juga mendapati kesemua barangan kemas yang disamun suspek dijual di kedai pajak gadai di sekitar daerah berkenaan.

Katanya, polis juga mendapati kegiatan itu menyasarkan mangsa warga asing.

"Bagaimanapun, polis masih menyiasat sama ada hotel berkenaan dijadikan sebagai tempat rehat atau kediaman kesemua suspek.

"Kesemua mereka direman selama tujuh hari sehingga 11 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 4:15 PM
Mohd Shuhaily Mohd Zain menunjukkan gambar suspek kes samun pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Mohd Shuhaily Mohd Zain menunjukkan gambar suspek kes samun pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini. FOTO MIKAIL ONG