LAPORAN portal berita Harian Metro, Jumaat lalu mengenai kumpulan penyamun bermotosikal bersenjatakan parang.
LAPORAN portal berita Harian Metro, Jumaat lalu mengenai kumpulan penyamun bermotosikal bersenjatakan parang.
Siraj Mohd Zaini


DUA lagi suspek kes samun bermotosikal ditahan menjadikan jumlah keseluruhannya kepada empat individu diberkas pihak berkuasa sehingga kini.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, dua lelaki berkenaan ditahan kelmarin hasil siasatan terhadap dua rakannya yang ditahan polis sebelum ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi tangkapan kedua-dua suspek dilakukan polis.

“Hasil siasatan terhadap dua suspek yang ditahan pada mula-mula dulu membawa kepada penahanan dua lagi rakannya.

“Keempat-empat suspek yang ditahan berusia 20 hingga 30-an,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam, hari ini.

Noor Azam berkata, polis kini sedang giat memburu saki-baki suspek yang terbabit dengan kejadian samun bermotosikal itu dan beliau percaya kes berkenaan akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Pada 21 Februari lalu, tiga kes samun dan cubaan samun dilaporkan membabitkan antara enam, tujuh dan lapan lelaki dipercayai warga tempatan menaiki empat motosikal bersenjatakan parang.

Suspek terbabit mencari sasaran yang berada di pekarangan rumah di kawasan sunyi sebelum bertindak melakukan jenayah itu.

Dalam kes pertama jam 2.15 petang, seorang mangsa lelaki yang meletakkan kereta di luar rumahnya di Jalan Sri Sarawak, Taman Sri Andalas, Klang, didatangi enam lelaki menaiki motosikal mengacukan parang sebelum melarikan wang tunai RM5,000, buku cek, barang kemas RM2,000 dan telefon bimbit.

Tidak lama selepas itu, seorang wanita disamun ketika berada di depan rumahnya di Lorong Lengkongan, Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang oleh lapan lelaki bersenjatakan parang menaiki empat motosikal jenis Yamaha 125Z.

Pada jam 4.05 petang, seorang lelaki yang mahu keluar dari rumahnya di Bukit Kuchai, Bandar Kinrara, cuba disamun tujuh lelaki menaiki empat motosikal yang sebelum itu berlegar-legar di sekitar kawasan rumahnya.

Namun, suspek terbabit gagal menyamun mangsa selepas dia melarikan diri masuk ke dalam rumah.

Berita berkaitan

[UPDATE] Amy Keju diburu polis

[UPDATE] Polis giat buru penjenayah bermotosikal

Warga emas jadi mangsa penjenayah bermotosikal

Nyaris ditetak penyamun [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 3:19 PM