Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat (dua kiri) menunjukkan barang dirampas daripada penjenayah. - Foto Bernama
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat (dua kiri) menunjukkan barang dirampas daripada penjenayah. - Foto Bernama

s

Shah Alam: Polis menumpaskan dua sindiket samun dan pecah rumah sekitar Shah Alam berikutan penahanan 10 lelaki termasuk ketua sindiket terbabit di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini dan Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata tangkapan pertama membabitkan enam anggota 'Geng Wan Botak' susulan laporan polis bagi kes samun kereta Peugeot milik seorang pengurus kilang di Sri Muda di sini, kira-kira 1 pagi semalam.

Beliau berkata suspek pertama berumur 21 tahun ditahan dalam sebuah kereta Proton Satria kira-kira setengah jam selepas kejadian iaitu 1.30 pagi.

"Pemeriksaan mendapati kereta Satria itu ialah kereta curi yang digunakan ketika menyamun kereta Peugeot berkenaan. Soal siasat terhadap suspek membawa

kepada penahanan seorang lagi suspek beberapa jam kemudian bersama kereta Peugeot yang disamun.

"Siasatan seterusnya membawa kepada penahanan empat lagi suspek dan semua enam suspek berumur antara 19 hingga 27 tahun,” katanya di sini, hari ini.

Shafien berkata ketika tangkapan, pihaknya merampas tiga kereta, sebuah motosikal serta pelbagai peralatan pecah rumah dan samun termasuk walkie-talkie.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati geng itu bergiat aktif dalam kegiatan samun dan pecah rumah sejak lebih sebulan lalu, dan semua mereka turut mempunyai pelbagai kesalahan lampau, antaranya kes curi, pecah rumah, rogol, dadah dan mendatangkan kecederaan.

Sementara itu, beliau berkata kes kedua membabitkan tangkapan empat anggota 'Geng Joker Raja' termasuk ketua kumpulan berumur 25 tahun di sekitar Shah Alam dan Sungai Buloh pada 3 November lalu.

“Berbeza dengan Geng Wan Botak, modus operandi Geng Joker Raja ialah ketika melakukan samun mereka turut mencederakan mangsa yang cuba melawan," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 7:40 PM