GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hanneeyzah Bariah Baharin


SEORANG daripada dua lelaki yang mengacukan sabit ke arah seorang kenalan lama mereka sebelum melarikan beg duit mengandungi wang tunai milik mangsa bernilai RM2,700, ditahan polis kelmarin.

Penganggur berusia 40 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, 9.50 malam kelmarin di sebuah rumah di Manir.

Susulan penahanan suspek, polis turut merampas dua sabit, sebilah pisau dan anak kunci serta sebuah kereta Perodua Viva sebagai barang kes.

Mengenai kejadian samun itu, sumber berkata, dalam kejadian kira-kira 11 malam pada 17 Disember lalu, mangsa berusia 49 tahun menunggang motosikal seorang diri di Manir, sebelum ditahan suspek dan seorang lagi lelaki dikenali yang menaiki kereta Perodua Viva.

Katanya, sebaik ditahan di tepi jalan, seorang daripada suspek tiba-tiba menuduh mangsa yang bekerja sebagai peniaga menjadi punca rakan mereka ditangkap polis dipercayai kerana kes dadah.

“Suspek kemudian mula bertindak agresif apabila mengacukan senjata dipercayai sabit ke arah mangsa, namun lelaki itu berjaya mengelak dicederakan sebelum terjatuh ke atas tanah.

“Sebaik melihat mangsa terjatuh, seorang daripada suspek kemudian mengambil beg duit yang berada di dalam poket mangsa sebelum mereka melarikan diri menaiki kereta Perodua Viva berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan penahanan suspek.

Beliau berkata, suspek yang turut memiliki rekod lampau berkaitan kes dadah kini ditahan reman sehingga Khamis ini.

Katanya, polis juga giat mencari seorang lagi suspek yang masih bebas dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkumpulan menggunakan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 5:34 PM