LAPORAN portal berita Harian Metro mengenai kejadian mangsa disamun dan diperkosa di premis menjual pakaian wanita di Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu, malam tadi.
LAPORAN portal berita Harian Metro mengenai kejadian mangsa disamun dan diperkosa di premis menjual pakaian wanita di Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu, malam tadi.
Zaid Salim


“KETIKA kejadian hanya dia seorang sahaja berada dalam kedai,” kata lelaki yang juga ipar kepada pemilik premis menjual pakaian wanita yang pekerjanya disamun sebelum dirogol di Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu, 9.50 malam tadi.

Lelaki yang enggan dikenali itu berkata, ketika kejadian mangsa sedang berehat di kaunter sementara menunggu untuk menutup perniagaan pada 10 malam.

“Mangsa bekerja syif petang dan kebiasaannya ada dua pekerja, tetapi semalam kebetulan mangsa bekerja seorang,” katanya yang ditugaskan mengurus premis berkenaan berikutan pemiliknya berada di Kuala Lumpur.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mendakwa kerugian kira-kira RM2,000 apabila wang hasil jualan itu disamun penjenayah terbabit.

Difahamkan kejadian berlaku apabila mangsa berusia 23 tahun secara tiba-tiba didatangi suspek ketika berada di dalam premis berkenaan.

Katanya, mangsa tidak mengesyaki niat jahat suspek melayani lelaki terbabit sebagai pelanggan sebelum suspek memaksa mangsa menyerahkan wang hasil jualan sebanyak RM2,000.

Tidak cukup dengan menyamun, suspek turut bertindak ganas apabila mengheret mangsa keluar dari kaunter sebelum merogol wanita terbabit.

Menurut sumber, sebelum kejadian, suspek yang memakai topi dan beg silang dikatakan memasuki kedai serbaneka 24 jam yang terletak bersebelahan premis berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Susulan laporan itu, katanya, pihaknya bersama pasukan Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dikejarkan ke lokasi kejadian bagi melakukan pemeriksaan.

“Usaha mengesan suspek kini sedang dijalankan dan setakat ini, kami menahan tiga lelaki di sekitar bandar ini bagi membantu siasatan.

“Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Berita berkaitan

'Pekerja malang disamun, diperkosa [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 3:03 PM