ABDUL Wahab (dua dari kanan)  diberi penerangan mengenai kandungan #HMKotakRezeki.
ABDUL Wahab (dua dari kanan) diberi penerangan mengenai kandungan #HMKotakRezeki.
Hadzlihady HassanRaja Noraina Raja RahimMohamad Azim Fitri Abd AzizNorizzah BaharudinKhairul Najib Asarulah Khan dan Zairee Mohd Yasak dan Mohd Khidir Zakaria

Melaka: Harian Metro (HM) meneruskan program #HMKotakRezeki2018 di negeri ini apabila menyumbang 570 Kotak Rezeki kepada rumah anak yatim, sekolah menengah agama, pusat tahfiz, madrasah dan pasukan beruniform.

Daripada jumlah itu, 500 adalah kotak kecil manakala 70 kotak besar untuk sumbangan rumah anak yatim, pusat tahfiz, sekolah menengah agama dan madrasah di sekitar negeri ini.

Pengetua Rumah Anak Yatim Darul Aitam, Pernu, Jasin, Ahmad Ismal Hafizul Azim Ismail berkata, sumbangan itu amat bermakna bagi mereka dan berterima kasih atas keprihatinan dan ingatan Harian Metro.

“Alhamdulillah, dapatlah kami memanfaatkan barangan keperluan harian ini untuk persediaan Aidilfitri minggu depan kerana ada antara anak yatim di sini berhari raya di sini setiap tahun,” katanya.

PENGURUS Cawangan Pos laju, Anuar Samat (kiri) menyerahkan #HMKotakRezeki kepada Ahmad Ismal Hafizul Azim di Rumah Anak Yatim Darul Aitam, Pernu.
PENGURUS Cawangan Pos laju, Anuar Samat (kiri) menyerahkan #HMKotakRezeki kepada Ahmad Ismal Hafizul Azim di Rumah Anak Yatim Darul Aitam, Pernu.

Di Kuantan, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang menyifatkan sumbangan #HMKotakRezeki kepada pegawai dan anggotanya pada Ramadan ini sebagai ingatan tulus ikhlas masyarakat terhadap pengorbanan bomba.

Pengarahnya, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, ia juga sebagai simbolik sokongan moral kepada pegawai dan anggota bomba yang perlu bertugas ketika umat Islam di negara ini sedang berbuka puasa.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan Harian Metro (HM) kerana sudah dua tahun berturut-turut memilih JBPM Pahang sebagai lokasi pengagihan kotak rezeki ini.

“Sedikit sebanyak ia membantu pegawai dan anggota saya berbuka puasa dengan makanan dan minuman dalam kotak rezeki ini ketika mereka perlu bertugas,” katanya.

Di Georgetown, sebanyak 50 #HMKotakRezeki diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL), semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya bersyukur dan mengucapkan terima kasih dengan sumbangan diberikan kumpulan NSTP dan HM.

Menurutnya, program seumpama ini harus diteruskan bagi merapatkan lagi hubungan antara polis dan media yang dilihat sentiasa memerlukan.

WARTAWAN Harian Metro, Hadzlihady Hassan (empat dari kiri) menyerahkan #HMKotakRezeki kepada Anuar.
WARTAWAN Harian Metro, Hadzlihady Hassan (empat dari kiri) menyerahkan #HMKotakRezeki kepada Anuar.

Di Rembau, Mudir Madrasah al-Islamiah Tuan Guru Haji Ibrahim, Mohd Khairuddin Yusoff yang menerima sumbangan 10 #HMKotakRezeki menyifatkan sumbangan itu mampu meringankan serba sedikit beban madrasahnya.

“Sebelum ini, barangan keperluan harian dibeli menggunakan duit yuran pelajar selain sumbangan masyarakat.

“Kalau diikutkan, duit yuran tidak cukup untuk menampung semua kos operasi madrasah ini yang menempatkan 70 pelajar berusia 11 hingga 25 tahun,” katanya.

MOHD Khairuddin (kanan) bersama #HMKotakRezeki  untuk  Madrasah al-Islamiah Tuan Guru Haji Ibrahim.
MOHD Khairuddin (kanan) bersama #HMKotakRezeki untuk Madrasah al-Islamiah Tuan Guru Haji Ibrahim.

Di Alor Gajah, Mudir Madrasah Baitil Hamdi di Simpang Ampat, Abdul Mutalib Ismail menyifatkan, sumbangan #HMKotakRezeki2018 bagi tahun kedua itu secara tidak langsung dapat meringankan hingga 30 peratus beban kewangan madrasah terbabit yang menempatkan seramai 100 pelajar lelaki dan perempuan.

Katanya, hasil penjimatan itu dapat disalurkan ke projek pembinaan surau di lokasi terbaru madrasah berkenaan yang terletak di sebidang tanah seluas 1.2 hektar di Sungai Siput, pada jarak 11 kilometer dari lokasi sedia ada.

“Kemajuan pembinaan bangunan bagi kegunaan pelajar lelaki itu bergantung kepada sumbangan orang ramai dan kita menjangkakan ia dapat digunakan tahun depan,” katanya.

Di Port Dickson, #HMKotak Rezeki 2018 disumbangkan kepada Yayasan Anak Yatim Islam Daerah Port Dickson bagi meringankan beban ditanggung golongan kurang bernasib baik itu.

Pegawai Akaun Yayasan itu, Noe Aishah Mohamad Kamel berkata, sumbangan itu amat bermakna kepada mereka yang mengharapkan sumbangan orang ramai bagi membantu meringankan beban 390 anak yatim berusia dua hingga 17 tahun yang bernaung di bawah yayasan berkenaan.

“Walaupun banyak sumbangan diterima, ia belum mencukupi kerana kami mempunyai anak yatim yang ramai.

“Setiap sumbangan yang diterima amat kami hargai. Kami berterima kasih kepada Harian Metro dan semua pihak yang terbabit dalam program amal ini,” katanya.

NOE Aishah (tengah) ketika menerima #HMKotakRezeki di Pejabat Yayasan Anak-Anak Yatim Daerah Port Dickson.
NOE Aishah (tengah) ketika menerima #HMKotakRezeki di Pejabat Yayasan Anak-Anak Yatim Daerah Port Dickson.

Di Seremban, Pengetua Madrasah Tahfiz Khairol Ulum, Mohamad Ali Ab Kadir berkata, sumbangan barangan keperluan harian menerusi #HMKotakRezeki itu dapat menampung keperluan terutama makanan kering untuk 100 pelajar tahfiz dan tenaga pengajarnya.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Harian Metro, AffinBank Group dan penyumbang lain kerana memberikan sumbangan yang cukup bermakna kepada kami terutama pada bulan mulia ini.

“Ini tahun kedua kami menerima #HMKotakRezeki dan berharap ia akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

MOHAMAD Ali (kiri) bersyukur terima #HMKotakRezeki.
MOHAMAD Ali (kiri) bersyukur terima #HMKotakRezeki.

Kotak kecil mengandungi air mineral, kurma, mufin, biskut serta air kotak, manakala kotak besar dengan berat melebihi 20 kilogram berisi beras, tepung gandum, gula, bihun, kordial, teh, susu pekat, biskut, minyak masak, sardin, sos cili, sos tiram, pasta serta air mineral.

#HMKotakRezeki kali ini mendapat kerjasama Affin Bank Group, Affin Islamic Bank, Pos Laju, Watsons, Nabati Group, Massimo, Qnet (Malaysia) Sdn Bhd dan Kimball.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 10:49 AM