ALFIAN (tiga kanan) bersama Mohd Shiblie (tiga kiri) serta Tuan Mohd Asri Tuan Hussein (kiri), Krish Kumar (dua kanan), Lau (kanan) menunjukkan barangan dimasukkan ke dalam #HMKotakRezeki di Balai Berita NSTP Shah Alam, hari ini. FOTO Muhammad Sulaiman.
ALFIAN (tiga kanan) bersama Mohd Shiblie (tiga kiri) serta Tuan Mohd Asri Tuan Hussein (kiri), Krish Kumar (dua kanan), Lau (kanan) menunjukkan barangan dimasukkan ke dalam #HMKotakRezeki di Balai Berita NSTP Shah Alam, hari ini. FOTO Muhammad Sulaiman.
Ruwaida Md Zain


HARIAN Metro (HM) menerusi #HMKotakRezeki dijangka akan meluaskan usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) bukan sahaja sempena Ramadan, malah pada hari keraian lain di negara ini.

Ketua Pegawai Komersial New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Alfian Abu Talib berkata, program berkenaan dijangka diperluaskan sekiranya ramai pihak berminat memberi sumbangan bagi membantu golongan kurang bernasib baik termasuk keluarga miskin, anak yatim serta asnaf.

“Saya berharap, kita dapat meneruskan momentum ini pada tahun akan datang. Bukan sahaja untuk Ramadan, tetapi hari keraian lain contohnya Krismas, Deepavali dan Tahun Baru Cina.

“Kalau lebih banyak pihak dapat menyokong usaha CSR kita, Insya-Allah kita boleh menjadi badan penganjur utama yang memberikan lebih untuk masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada hari pertama pelepasan Pos Laju yang menghantar #HMKotakRezeki 2018 di lobi Balai Berita NSTP Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Pengarang Eksekutif Harian Metro, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein; Ketua Rangkaian Jualan dan Sokongan Affin Bank, Mohd Shiblie Abg Sapuan; Pengurus Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ishak Manaf; Pengurus Kanan Pemasaran Watsons, Eric Wong; Pengurus Cawangan Nabati Food, Lau Lik Kiat; Pengarah Pembangunan Perniagaan Qnet International Group, Krish Kumar; Executive Jenama Kimball, Vivian Chua serta wakil The Italian Baker Sdn Bhd, Othman Ismail.

Alfian berkata, sebanyak 10,000 kotak kecil dan 1,000 kotak rezeki besar disediakan, malah beliau berbesar hati dengan sokongan padu dan kualiti produk sumbangan syarikat pengeluar makanan di pada tahun ketiga ini.

“€œKotak kecil mengandungi sebotol air mineral, buah kurma, muffin, biskut serta air kotak yang sesuai diberikan kepada yang bekerja waktu berbuka puasa.

“Manakala kotak besar dengan berat melebihi 20 kilogram pula untuk diagihkan kepada rumah anak yatim dan orang miskin antaranya mengandungi beras, tepung gandum, gula, milo, bihun, kordial, teh, susu pekat, biskut, majerin, minyak masak, sardin, sos cili, sos tiram, pasta serta air mineral.

“€œRibuan terima kasih kepada semua penganjur yang berkolaborasi tahun ini iaitu Affin Bank Group, Affin Islamic Bank, Pos Laju, Watsons, Nabati Group, Massimo, Qnet (Malaysia) Sdn Bhd dan Kimball.

“€œUsaha ini sangat penting untuk masyarakat kerana ia dijalankan tanpa sebarang keuntungan, sebaliknya lebih kepada membantu insan memerlukan,” katanya.

ALFIAN (kanan) dan Mohd Shiblie (empat dari kanan) ketika  Majlis ‘Flag-Off’ #HMKotakRezeki di Balai Berita NSTP, Shah Alam. FOTO Muhammad Sulaiman.
ALFIAN (kanan) dan Mohd Shiblie (empat dari kanan) ketika Majlis ‘Flag-Off’ #HMKotakRezeki di Balai Berita NSTP, Shah Alam. FOTO Muhammad Sulaiman.

Alfian berkata, selaku penyumbang setia dan utama sejak program ini bermula pada 2016, Affin Bank Group tahun ini menambah jumlah sumbangan sebanyak RM350,000 dan duit zakat sebanyak RM288,000.

Beliau berkata, berbanding tahun lalu, terdapat beberapa lokasi baharu disasarkan membabitkan 11 negeri di Semenanjung Malaysia.

“€œSetiap kali post mortem dibuat, kita dapati ada kawasan baharu agak terpinggir dan lebih memerlukan kotak rezeki ini, jadi itu antara sasaran #HMKotakRezeki tahun ini yang bermula di Johor.

“€œSeterusnya #HMKotakRezeki ke Kedah, Perak, Perlis, Selangor, Putrajaya, Pahang, Terengganu, Kelantan dan berakhir di Negeri Sembilan dan Melaka pada 5 Jun depan,” katanya.

Difahamkan, pada tahun ini HM memilih 72 rumah asnaf dan anak yatim dari seluruh Semenanjung Malaysia, membabitkan enam rumah asnaf dan anak yatim dipilih dari setiap negeri untuk menerima kotak besar.

Sementara itu, sebanyak 10,000 kotak kecil atau kotak individu akan diagihkan untuk mereka yang tidak berkesempatan berbuka puasa seperti anggota polis, bomba dan orang ramai yang terpaksa bertugas melepasi waktu berbuka puasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 5:40 PM