Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Harian Metro (HM) meneruskan program #HMKotakRezeki 2018 di Terengganu apabila menerima 640 Kotak Rezeki untuk disumbangkan kepada rumah anak yatim, orang miskin dan pasukan beruniform.

Daripada jumlah itu, 600 adalah kotak kecil manakala 40 kotak besar untuk sumbangan rumah anak yatim dan madrasah di sekitar negeri.

Kotak sumbangan itu tiba di pejabat New Straits Times Press (NSTP) (M) Bhd Kuala Terengganu dengan kurier Pos Laju, semalam disambut Ketua Biro NSTP Cawangan Terengganu Rosli Zakaria.

Penyerahan itu dilakukan wakil Pos Laju iaitu Pengurus Operasi Pos Laju Kuala Terengganu, Ahmad Izamuddin Ismail.

Sementara itu, Pengurus Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Baitul Sakinah Kuala Terengganu, Sharifah Thuraya Tuan Mohd berterima kasih atas sumbangan HM bersama rakan penaja untuk program itu.

WARTAWAN Harian Metro, Zatul Iffah Zolkiply (tengah)  menyerahkan Kotak Rezeki Harian Metro kepada Pegawai Akaun Asrama Anak Yatim Darul Falah Norlida Mat Ali (tujuh kanan).
WARTAWAN Harian Metro, Zatul Iffah Zolkiply (tengah) menyerahkan Kotak Rezeki Harian Metro kepada Pegawai Akaun Asrama Anak Yatim Darul Falah Norlida Mat Ali (tujuh kanan).

“Hanya ucapan terima kasih mampu kami ucapkan atas kesudian HM dan rakan penaja memilih kami sebagai penerima,” katanya.

Selain itu, sumbangan kotak besar turut diberikan kepada Asrama Anak Yatim Darul Falah di Bukit Payung, Marang, Madrasah Addiniah Azzakiah di Ajil, Hulu Terengganu, Pusat Pengajian (Tahfiz) Raudah Assyafie di Kijal, Kemaman dan Madrasah Tahfiz Nurul Mukhtar, Besut.

Kotak kecil sumbangan itu mengandungi sebotol air mineral, buah kurma, mufin, biskut serta air kotak manakala kotak besar dengan berat melebihi 20 kilogram berisi beras, tepung gandum, gula, bihun, kordial, teh, susu pekat, biskut, minyak masak, sardin, sos cili, sos tiram, pasta serta air mineral.

#HMKotakRezeki kali ini mendapat kerjasama Affin Bank Group, Affin Islamic Bank, Pos Laju, Watsons, Nabati Group, Massimo, Qnet (Malaysia) Sdn Bhd dan Kimball.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 11:43 AM