Keadaan motosikal mangsa. FOTO ihsan pembaca
Keadaan motosikal mangsa. FOTO ihsan pembaca
Nurul Fatihah Sulaini

DUA lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 68 Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja dekat Kampung Saujana, Setiu malam semalam.

Dalam kejadian  9.15 malam, tukang kebun, Mat Shaidiey Nik Mat, 23, yang menunggang motosikal Honda Dash bersama rakannya, Mohammad Shahrul Affandi Abdullah, 21, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Alza yang datang dari arah Kuala Terengganu secara tiba-tiba dilanggar dua buah motosikal yang keluar dari simpang ketika tiba di tempat kejadian.

"Dua sahabat maut di tempat kejadian manakala dua lagi penunggang dan pembonceng berusia 19

dan 20 tahun hanya cedera ringan.

"Kemalangan itu turut menyebabkan sebuah lagi motosikal yang belum dikenal pasti jenisnya terbakar.

"Mayat dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat manakala dua lagi mangsa turut dibawa hospital sama untuk rawatan," katanya.

Zulkifli berkata, pemandu kereta Perodua Alza berusia 30 tahun bersama tiga lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara berbahaya dan melulu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 11:34 AM