PENGGUNA jalan raya melihat mayat mangsa.
PENGGUNA jalan raya melihat mayat mangsa.

Melaka: Seorang maut, dua parah manakala seorang lagi cedera ringan apabila motosikal ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan empat motosikal dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) berhampiran Stadium Hang Jebat, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa Muhammad Faiz Rosni, 21, menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

Saksi kejadian yang hanya ingin dikenali sebagai Fajar, 40-an, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, ke rumah mentuanya di Sungai Petai, di sini, sebelum menyaksikan kemalangan meragut nyawa itu.

Katanya, 200 meter di hadapannya terdapat sebuah kereta dan dua motosikal sebelum motosikal terbabit terjatuh akibat terlanggar bahagian belakang Perodua Alza dipandu seorang wanita.

“Kejadian berlaku dengan pantas, sebaik motosikal itu jatuh kelihatan percikan api di atas permukaan jalan untuk beberapa saat.

“Bagaimanapun ketika saya hendak memberhentikan kereta mahu menolong tiba-tiba datang lagi dua buah motosikal dan gagal mengelak kedua-dua mangsa yang terjatuh selain sebuah lagi motosikal yang berada di atas jalan lalu terbabas,” katanya.

Menurutnya, mangsa maut itu terjatuh dalam keadaan terlingkup dan ketika itu dia masih bernyawa sebelum tidak sedarkan diri 20 minit kemudian.

Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang dalam perjalanan dari arah persimpangan lampu isyarat Stadium Hang Jebat ke Bertam Ulu, di sini, terlanggar bahagian belakang Perodua Alza dipandu wanita berusia 32 tahun.

“Bagaimanapun tiga motosikal masing-masing Yamaha RXZ, Modenas Kriss dan Kawaki yang datang dari arah sama gagal mengelak dan berlanggar antara satu dengan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 5:20 AM