(Gambar Hiasan) Peminat motosikal Yamaha RXZ yang hadir pada program perhimpunan ‘We Are RXZ Member 3.0’. FOTO Ghazali Kori
(Gambar Hiasan) Peminat motosikal Yamaha RXZ yang hadir pada program perhimpunan ‘We Are RXZ Member 3.0’. FOTO Ghazali Kori
Nurul Fatihah Sulaini


DUA lelaki yang dipercayai dalam perjalanan pulang selepas menyertai program himpunan ‘We Are RXZ Members 3.0’ di Kuala Terengganu, maut selepas terbabit kemalangan dalam dua kejadian berasingan di Setiu, petang semalam.

Dalam kejadian pertama, Mohamad Hanafi Sanan, 25, yang menunggang Yahama RXZ maut selepas motosikal ditunggangi terbabit kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 41 Jalan Pantai Kuala Terengganu di Merang, Setiu, 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang datang dari arah Kuala Terengganu gagal mengelak sebelum melanggar belakang Toyota Hilux yang cuba mengundur dari bahu jalan untuk keluar ke jalan besar.

“Disebabkan perlanggaran itu, mangsa yang beralamat di Raub, Pahang, tercampak ke tengah jalan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang penunggang maut selepas tiga motosikal bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 82 Kuala Setiu Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja, Permaisuri, 8.15 malam.

Zulkifli berkata, mangsa, Muhammad Zaidi Zali, 22, beralamat di Jalan Pulau Kundur, Kota Bharu, Kelantan, yang menunggang motosikal Honda C100B, meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, kemalangan turut menyebabkan seorang penunggang, Wan Mohamad Afiq Wan Mohd Zaki, 14, dari Kampung Tunjong, Kota Bharu patah kaki, manakala dua lagi mengalami kecederaan ringan.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Proton Wira dari arah Kampung Raja, Besut ke Dungun bertembung dengan sebuah motosikal yang membuat aksi ‘wheelie’ dan hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Akibat perlanggaran itu, motosikal pertama terbabas ke tengah jalan, manakala motosikal kedua serta ketiga tidak sempat mengelak lalu turut terbabas,” katanya.

Zulkifli berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Daerah Setiu dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 6:50 PM