Saudara mara menyirami pusara Allahyarham Mat Shaidiey bersama rakannya, Mohammad Shahrul Affandi yang dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Saudara mara menyirami pusara Allahyarham Mat Shaidiey bersama rakannya, Mohammad Shahrul Affandi yang dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


“ARWAH sempat hantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp minta maaf dalam group (kumpulan) kawan sekampung sebelum nahas,” kata Nik Man Mat Yasin, 41, sepupu kepada Mat Shaidiey Nik Mat, 23, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 68 Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja dekat Kampung Saujana, Setiu, malam semalam.

Dalam kejadian 9.15 malam, Mat Shaidiey yang bekerja sebagai tukang kebun bersama rakannya, Mohammad Shahrul Affandi Abdullah, 21, meninggal dunia di tempat kejadian selepas Honda Dash ditunggang mereka berlanggar dengan Perodua Alza.

Kejadian dipercayai berlaku apabila dua rakan terbabit dikatakan mahu keluar dari simpang empat tanpa menyedari melalui jalan utama kerana lokasi kejadian gelap sebelum melanggar Perodua Alza yang datang dari arah Kuala Terengganu.

Nik Man berkata, mesej itu dihantar arwah sepupunya pada 7.15 malam hari yang sama.

"Ketika arwah menghantar mesej meminta maaf kepada semua ahli yang ada, kami ingatkan arwah sekadar bergurau dan tidak sangka itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami

"Ada antara kami yang balas mesej itu dengan membuat lawak dan arwah membalas kembali dengan mesej ceria," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol, Setiu hari ini.

Bapa kepada Mat Shaidiey, Nik Mat Nik Ismail, 52, berkata, anak keempat daripada tujuh beradik tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika ditemui kali terakhir pada Khamis lalu.

"Memang terkejut tetapi saya reda dengan pemergian arwah," katanya.

Sementara itu, sepupu kepada Mohammad Shahrul Affandi, Fatmawati Mamat, 31, berkata, arwah baru saja menamatkan pengajian dalam jurusan Diploma Pendawaian Elektrik di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Tembila, Besut pada Khamis lalu.

"Petang semalam dia bersama seorang kawannya pergi ke tempat mereka belajar untuk mengambil barang dan dia sampai rumah agak lewat sebelum keluar semula selepas solat untuk berjumpa rakannya.

"Arwah dijaga keluarga kakak ipar saya sejak kecil kerana ibunya meninggal sewaktu dia berumur lima tahun manakala ayahnya pula berkahwin lain dan tinggal di Pulau Pinang," katanya.

Jenazah dua sahabat itu dikebumikan dalam satu liang lahad dengan hampir 100 orang terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat hadir ke majlis pengebumian itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Alza yang datang dari arah Kuala Terengganu secara tiba-tiba dilanggar dua motosikal yang keluar dari simpang ketika tiba di tempat kejadian.

"Dua sahabat maut di tempat kejadian manakala dua lagi penunggang dan pembonceng berusia 19 dan 20 tahun hanya cedera ringan.

"Pemandu Perodua Alza berusia 30 tahun bersama tiga lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara berbahaya dan melulu," katanya.

Berita berkaitan

Ajal 2 sahabat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 4:59 PM