NORHASRAM
NORHASRAM
Siraj Mohd Zaini


Subang: “Siapa tidak sedih meninggalkan keluarga namun ini adalah impian saya sejak menyertai tentera dan bangga akhirnya dipilih menyertai misi pengaman,” kata Leftenan Komander Norhasram Mohd Muharami, 41, yang menyertai kumpulan pertama Pasukan Pengaman Malaysia (MALBATT) di Lubnan, semalam.

Beliau yang berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) antara tiga pegawai wanita daripada 215 pasukan MALBATT 850-5 yang berlepas ke Lubnan dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini, petang semalam.

Mereka menggantikan MALBATT 850-4 yang menamatkan misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) selepas berkhidmat selama setahun.

Norhasram yang juga ibu tunggal dilihat cukup bersemangat dan teruja meskipun terpaksa berjauhan dengan tiga anaknya.

“Ia satu kebanggaan buat diri saya kerana selama ini saya mengikuti kursus berkaitan dengan misi pengaman dan akhirnya dapat juga bertugas di negara itu (Lubnan).

“Sedih dan gembira bercampur baur kerana anak-anak berada di asrama dan ibu bapa boleh menjaga mereka selama setahun ketiadaan saya,” katanya.

Beliau yang sudah 21 tahun berkhidmat berkata, operasi ketenteraan juga bukan bidang asing bagi golongan wanita kerana setiap daripada mereka mempunyai peranan tersendiri.

Sementara itu, Sarjan Mohd Khairil Anuar Zhali, 29, berkata dia berazam mahu mengharumkan nama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada misi berkenaan.

Menurutnya, ia pengalaman pertama ditugaskan ke luar negara sejak berkhidmat bersama Tentera Darat sembilan tahun lalu.

“Isteri saya juga seorang anggota tentera dan dia memahami tugas suaminya. Ini juga adalah cita-cita saya.

“Saya berperanan sebagai anggota di perhubungan awam dan segala maklumat berkaitan situasi semasa tugas saya untuk melaporkannya ke Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 7:08 AM