Anggota dan pegawai yang juga kumpulan terakhir MALBATT 850-6 tiba di Pangkalan Udara TUDM, Subang hari ini. FOTO Bernama
Anggota dan pegawai yang juga kumpulan terakhir MALBATT 850-6 tiba di Pangkalan Udara TUDM, Subang hari ini. FOTO Bernama
Mohd Azam Shah Yaacob


KUMPULAN terakhir pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-6 (MALBATT 850-6) selamat tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang hari ini.

Kumpulan terdiri daripada 221 pegawai dan anggota diketuai Komander MALBATT 850-6 Kolonel Azhan Md Othman itu tiba 5 petang tadi selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut, Lubnan 12.40 tengah malam tadi (waktu tempatan).

Ketibaan mereka disambut Ketua Staf Markas ATM Leftenan Jeneral Datuk Kamarulzaman Mohd Othman TUDM; Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Suhaimi Mohd Zuki dan Panglima Operasi Udara Leftenan Jeneral Datuk Seri Abdul Mutalib Ab Wahab TUDM yang mewakili Panglima Tentera Udara (PTU).

Kamarulzaman ketika berucap menzahirkan tahniah terhadap pasukan MALBATT 850-6 atas kejayaan melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan cemerlang.

“Kepulangan kumpulan terakhir MALBATT 850-6 ini membuktikan semua pegawai dan anggota yang dihantar ke Lubnan bagi misi pengaman selama setahun sejak September tahun lalu sudah berjaya menyelesai misi diamanahkan dengan sempurna tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Kejayaan menyempurnakan misi itu sekali gus mengharumkan dan mengekalkan reputasi baik Malaysia sebagai pasukan pengaman disegani di peringkat antarabangsa,” katanya dalam ucapan ketika Majlis Sambutan Kepulangan Kumpulan Ke-4 MALBATT 850-6.

Misi pasukan MALBATT 850-6 di Lubnan yang disertai 80 pegawai serta 770 anggota lain-lain pangkat itu digantikan dengan pasukan baru MALBATT 850-7 dengan jumlah pegawai dan anggota sama.

Penghantaran kumpulan baru MALBATT 850-7 itu sudah dibuat 2 Oktober lalu.

Sementara itu, salah seorang pegawai MALBATT 950-6, Kapten Mohd Noor Hafiz Mohamed Rashid, 30, mengakui bersyukur dapat menamatkan misi yang diamanahkan.

Katanya, walaupun sepanjang misi itu tidak dapat bersama keluarga, namun pengalaman yang diperoleh sangat berharga.

“Misi itu sekali gus membuka mata saya mengenai pentingnya menjaga keamanan terutama di negara sendiri.

“Malah, saya berasa bangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada pasukan yang begitu penting dalam memastikan keamanan di Lubnan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 8:54 PM