SEKITAR Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) kepada 854 anggota pengaman termasuk yang bertugas di Sektor Barat UNIFIL diadakan di Padang Kawad, UNP 2-1 Kem Marakah, Selatan Lubnan, semalam. FOTO Ihsan Bahagian Hal Ehwal Awam Markas Angkatan Bersama
SEKITAR Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) kepada 854 anggota pengaman termasuk yang bertugas di Sektor Barat UNIFIL diadakan di Padang Kawad, UNP 2-1 Kem Marakah, Selatan Lubnan, semalam. FOTO Ihsan Bahagian Hal Ehwal Awam Markas Angkatan Bersama
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) kepada 854 anggota pengaman termasuk yang bertugas di Sektor Barat UNIFIL diadakan di Padang Kawad, UNP 2-1 Kem Marakah, Selatan Lubnan, semalam.

Perbarisan penganugerahan itu disempurnakan oleh Komander Sektor Barat UNIFIL, Brigadier General Roberto Vergori.

Bahagian Hal Ehwal Awam Markas Angkatan Bersama dalam kenyataan, semalam, memaklumkan, perbarisan itu membabitkan seramai 20 pegawai termasuk seorang Pegawai Awam Kementerian Pertahanan dan 250 anggota lain-lain pangkat (LLP).

"Ia turut membabitkan empat detasmen yang diketuai oleh Timbalan Komander MALBATT 850-10, Leftenan Kolonel Mohd Faizul Azri Mohd Mudzari selaku ketua perbarisan, manakala penolong ketua perbarisan adalah Mejar Mohd Nuzulfitri Mohd Ghanimi.

"Sementara itu, ajutan perbarisan pula adalah Kapten Nik Haqeeq Nik Hamdi dan Sarjan Mejar Rejimen Perbarisan Pegawai Waran (PW) I Mohd Afandi Ramli. Bagi Detasmen Pertama diketuai oleh Mejar Bakhtiar Bohari; Detasmen Kedua, Leftenan Komander Wan Aiman Wan Hussin TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia); Detasmen Ketiga, Mejar Haniz Yahya TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) dan Detasmen Keempat, Mejar Hisham Mahmud ABDB (Angkatan Bersenjatan Diraja Brunei)," katanya.

Katanya, mendahului senarai penerima pingat adalah Komander MALBATT 850-10, Kolonel Mohd Rizman Ramli diikuti pegawai-pegawai kanan dan wakil-wakil perkhidmatan.

"Selain itu, komander bagi setiap kontinjen UNIFIL turut diberi penghormatan untuk menyampaikan pingat kepada semua anggota Harimau 10.

"Turut hadir adalah beberapa Datuk Bandar dari Kawasan Tanggungjawab (KTJ) MALBATT 850-10 serta pegawai tertinggi Lubnan termasuk Pegawai Kanan Lebanese Armed Forces (LAF) yang secara tidak langsung dapat memperkukuhkan kesatuan dan menjalinkan kerjasama erat antara MALBATT bersama penduduk setempat.

"Ia juga bagi merealisasikan mandat digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam membantu dan menyalurkan sokongan terbaik kepada penduduk setempat khususnya di Selatan Lubnan seperti yang termaktub dalam Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB," katanya.

Menurutnya, perbarisan itu bertujuan untuk mengiktiraf komitmen dan profesionalisme setiap anggota pengaman yang berkhidmat dibawah Panji-Panji PBB dalam mendokong tugas serta mandat yang diberikan.

"Ia bukan sahaja sebagai tanda penghargaan tetapi juga sebagai anjakan moral yang akan memberi inspirasi kepada anggota pengaman supaya sentiasa memberi impak positif dalam perkhidmatan lebih baik pada masa akan datang.

"Pengiktirafan ini layak diberikan kepada mana-mana anggota pengaman yang bertugas di bawah misi PBB melebihi 90 hari.

"MALBATT 850-10 terdiri dari 84 pegawai dan 770 anggota LLP daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk 30 anggota dari ABDB serta seorang Pegawai Awam dari Kementerian Pertahanan memulakan misi pada 12 November 2022.

"Mereka dijangka menamatkan misi pada 12 November nanti selepas 12 bulan berkhidmat di bawah panji-panji PBB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 1:40 PM