Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Subang: Baru tiga bulan bergelar isteri, seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sanggup berkorban selepas terpilih menyertai Pasukan Pengaman Batalion Malaysia (Malbatt 850-10) di Lubnan.

Koperal Nurul Shafiqah Md Yassin, 28, berkata, dia yang melangsungkan perkahwinan dengan suaminya yang juga anggota ATM menerima perkhabaran terpilih menyertai misi pengaman itu ketika persiapan perkahwinan sedang dilakukan.

"Nama saya pernah 'naik' pada 2020, namun ketika itu tiada apa-apa dimaklumkan serta tiada surat dikeluarkan. Kali ini nama saya 'naik' sekali lagi serta terpilih ke sana.

"Memang terkejut kerana masa itu saya sibuk dengan persiapan. Jadi saya anggap ini sebagai rezeki, malah suami juga menggalakkan untuk menyertainya," katanya ketika ditemui di sini.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama Pasukan Pengaman Batalion Malaysia (Malbatt 850-10) di Pangkalan Udara Subang.

Kumpulan pertama itu membabitkan seramai 214 orang diketuai Kolonel Mohd Rizman Ramli selaku Komander bagi misi United Nations Interim Force (UNIFIL) ke Lubnan untuk tempoh setahun.

KUMPULAN pertama Malbatt 850-10 dihantar ke Lubnan. FOTO Genes Gulitah
KUMPULAN pertama Malbatt 850-10 dihantar ke Lubnan. FOTO Genes Gulitah

Secara keseluruhan, seramai 854 orang terdiri daripada 84 pegawai dan 770 anggota lain-lain pangkat (LLP) termasuk seorang pegawai awam Mindef menyertai misi berkenaan.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, Malbatt 850-10 turut menampilkan seramai 30 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang mana buat pertama kali dalam sejarah pembabitan ABDB, dua daripadanya ialah anggota wanita.

"Alhamdulillah, tahun ini situasi berbeza. Suami, isteri dan ahli keluarga sudah boleh hadir untuk menghantar. Saya faham, ia akan menimbulkan perasaan yang bercampur baur antara sedih, gembira, bangga dan terharu. Saya yang menghantarnya merasai perasaan yang sama.

"Namun saya yakin, kehadiran ahli keluarga saudara saudari hari ini boleh menjadi pembakar semangat kepada saudara-saudari untuk melakukan yang terbaik di bumi Lubnan kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 2:51 PM