Hafidzul Hilmi Mohd Noor


KUMPULAN terakhir Pasukan Pengaman Batalion Malaysia 850-5 (MALBATT 850-5) selamat tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, 5.40 petang hari ini.

Kumpulan seramai 192 anggota diketuai Kolonel Khairul Anwar Abd Aziz itu tiba di tanah air selepas menamatkan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) selama 12 bulan sejak 20 September 2017.

MALBATT 850-5 dianggotai 850 anggota iaitu 79 pegawai dan 770 anggota lain-lain pangkat termasuk 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan mereka pulang secara berperingkat sebelum ini.

Selepas berkhidmat selama setahun di Lubnan, MALBATT 850-5 secara rasminya menyerahkan tugas dan tanggungjawab diamanahkan kepada MALBATT 850-6 diketuai Kolonel Khairul Azhan Md Othman untuk meneruskan tugas selanjutnya.

Panglima Tentera Udara (PTU) Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, sepanjang penugasan di sana, MALBATT 850-5 mempamerkan disiplin dan mutu kerja cemerlang serta turut diberi pengiktirafan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kontinjen MALBATT 850-5 berjaya mengekalkan reputasi baik selaku pasukan pengaman disegani masyarakat setempat dan antarabangsa.

“Kontinjen ini akan berkampung di MALBATT Village, Port Dickson untuk membuat pentadbiran dan persiapan bagi majlis pembubaran kontinjen berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 10:36 PM
PEGAWAI dan anggota kumpulan terakhir MALBATT 850-5 mengaminkan doa selepas selamat tiba di Pangkalan Udara TUDM, Subang, hari ini. FOTO MUHD ZAABA ZAKERIA
PEGAWAI dan anggota kumpulan terakhir MALBATT 850-5 mengaminkan doa selepas selamat tiba di Pangkalan Udara TUDM, Subang, hari ini. FOTO MUHD ZAABA ZAKERIA