Nurul Husna Mahmud

nurul_husnahmetro.com.my

BUKAN hanya mengisi kuota semata-mata, peranan anggota tentera wanita dalam misi keamanan dunia cukup penting terutama dalam menangani isu keganasan seksual berlaku terhadap wanita dan kanak-kanak di negara bergolak.

Apatah lagi golongan terbabit sering dilihat sebagai sasaran mudah dan dijadikan 'senjata' propaganda dalam peperangan sesebuah negara seperti krisis di wilayah Afrika atau Timur Tengah.

Mengakui terkesan dengan nasib jutaan wanita dan kanak-kanak yang trauma akibat peperangan, Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Norhasram Mohd Muharami terus komited menawarkan bakti dalam Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nation Development Program (UNDP) sejak 2014.

"Situasi yang sering dilihat dalam peperangan, di mana lelaki tempatan perlu keluar untuk mempertahankan diri dan keluarga mereka dan adakalanya menjadi korban dalam peperangan sedangkan wanita dan kanak-kanak yang tinggal terdedah kepada bahaya tanpa perlindungan.

"Wanita yang menjadi mangsa keganasan selalunya apabila terlihat askar atau senjata, mereka akan takut dan trauma. Kesannya mereka akan memencilkan diri dan berdiam, keadaan ini menyebabkan usaha dapatkan maklumat berkenaan keganasan atau isu keselamatan menjadi sukar.

"Naluri semula jadi wanita selalunya akan lebih selesa berkongsi penderitaan yang dihadapi dengan wanita lain. Jadi, peranan tentera wanita amat diperlukan untuk membantu mereka yang terkesan dengan peperangan dan memberikan perlindungan yang diperlukan.

"Tugas pengaman bukan sekadar melakukan tugas ketenteraan, tetapi juga mengumpul maklumat berkaitan misi bagi memastikan operasi yang dijalankan berjaya selain memperkasakan peranan wanita apabila berada di lapangan," katanya.

Beliau sebelum ini pernah mengikuti misi pengaman di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke Lubnan pada September 2017, masih mencari peluang berkhidmat di lapangan sebagai pegawai pemerhati di wilayah lebih bergolak bagi membantu wanita di sana.

"Berbicara mengenai tugasan di Lubnan, kehadiran tentera pengaman di sana adalah untuk memantau sebarang aktiviti permusuhan di kawasan operasi yang ditetapkan selain membantu rakyat tempatan untuk memulihkan semula kehidupan mereka dari pelbagai aspek.

LEBIH suka komunikasi dalam tugasan bersama anggota lain.
LEBIH suka komunikasi dalam tugasan bersama anggota lain.

"Jadi, isu 'berat' seperti keganasan seksual dan gender tidak berlaku di negara berkenaan kerana mereka sudah mencapai kestabilan ekonomi dan sosial.

"Berbanding wilayah di Afrika seperti konflik 30 tahun dihadapi Congo yang mana pergolakan dalaman dan peperangan antara etnik menjadikan wanita serta kanak-kanak sebagai senjata untuk mencapai matlamat mereka.

"Saya menangis apabila menyaksikan video yang mana wanita di sebuah kampung dikumpulkan dalam satu rumah dan dibakar hidup-hidup. Pada waktu itu saya sedar tanggungjawab saya sebagai sebagai anggota keselamatan cukup besar dengan terus bantu bela nasib wanita yang menjadi mangsa keganasan,

" katanya.

Meskipun menyedari risiko menjadi pemerhati di wilayah bergolak tinggi, katanya, tidak pula berasa gentar sebaliknya lebih bersemangat untuk berkhidmat di bawah panji UN.

"Komitmen saya dalam misi pengaman termasuk sebagai jurulatih tetap untuk latihan medan Batalion Malaysia di Perkampungan MALBATT di Port Dickson Negeri Sembilan selain pernah melatih batalion dari 10 negara berlainan seperti Indonesia, Amerika Syarikat dan banyak lagi.

"Pada saya skil dengan pengalaman sedia ada sangat terhad dan berada di kawasan konflik seperti di Congo, Afrika dapat melihat sendiri situasi wanita di sana secara dekat adalah penting untuk saya berkongsi pengalaman dengan pelatih atau platun yang mengikuti latihan misi pengaman.

MELAKSANAKAN operasi Market Walk dan menjalinkan hubungan baik dengan penduduk setempat.
MELAKSANAKAN operasi Market Walk dan menjalinkan hubungan baik dengan penduduk setempat.

"Interaksi langsung dengan wanita di negara bergolak adalah skil diperlukan dengan itu dapat bantu memperkasakan wanita berkenaan supaya tidak terus menjadi mangsa kepada pihak yang membuat keganasan," katanya.

Menceritakan pengalaman ketika menjalankan misi pengaman di Lubnan, tanggungjawab Norhasram cukup berat apabila perlu memimpin kontinjen TLDM seramai 91 orang yang mengikuti misi sama.

"Bukan sekadar menjalankan tugas sebagai tentera pengaman, saya turut diberi amanah untuk memantau 91 anggota TLDM dalam misi sama.

"Saya perlu pastikan setiap anggota sentiasa menjaga nama baik TLDM, mematuhi disiplin dan melaksanakan tugas atau mandat diberikan pihak UN. Penting setiap anggota dalam pasukan TLDM menjaga nama baik kerana dua lagi sayap ketenteraan iaitu tentera darat dan tentera udara turut menjalankan kerja dan tugas sama di sana.

"Berbanding tempoh berkhidmat enam bulan bagi anggota pengaman wanita, saya perlu berada di sana selama setahun dan pada saya itu cukup bermakna," katanya.

Dalam pada itu Norhasram tidak lupa berkongsi detik cemas ketika menguruskan program lawatan delagasi Timbalan Menteri Pertahanan dan kumpulan media ke sebuah perkampungan di sana.

"Pengalaman tidak boleh lupa adalah ketika itu saya bertindak sebagai pegawai koordinasi untuk program lawatan delegasi pengiring dari Malaysia yang turut disertai media. Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu untuk berkunjung ke sebuah perkampungan berhampiran markas United Nations (UN).

BERSAMA Female Analysis Engegement Team F.A.S.T UNIFIL melaksanakan tugas operasi Market Walk di kawasan operasi MALBATT.
BERSAMA Female Analysis Engegement Team F.A.S.T UNIFIL melaksanakan tugas operasi Market Walk di kawasan operasi MALBATT.

"Kami baharu sahaja mengambil alih tugas beberapa hari daripada pasukan sebelumnya. Jadi, ada maklumat berkaitan dengan 'pantang larang' atau sensitiviti masyarakat tempatan yang tidak kami ketahui.

"Insiden yang berlaku ialah peralatan yang dibawa kumpulan media dirampas penduduk tempatan yang sangat sensitif dan tidak senang dengan kehadiran kami ketika itu.

"Serius situasi itu apabila ia disusuli dengan tindakan agresif segelintir penduduk tempatan dan namun mujur kehadiran penterjemah menenangkan keadaan itu," katanya.

Menjelaskan peranan Wisma Putra bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan badan dunia itu, kata Norhasram, Kementerian Luar mempunyai peranan penting dalam menjayakan dasar luar dan peranan serta pembabitan pihak ATM. Selain mendokong setiap resolusi perjanjian ditandatangani Malaysia bersama badan dunia bagi memastikan keamanan dan kestabilan dunia dapat dikecapi.

Sementara itu, kata ibu tunggal berusia 44 tahun itu, faktor banyak membantu kerjayanya terutama dalam penugasan misi kemanusiaan PBB, adalah sokongan penuh keluarga terutama tiga anaknya.

"Memang ibu bapa dan keluarga bimbang, tetapi mereka faham minat dan kerjaya saya sebagai anggota tentera. Anak sulung saya terutamanya selalu beri sokongan dan mahu saya capai impian untuk pergi jauh dalam misi kemanusiaan.

"Saya bersyukur memiliki sistem sokongan cukup baik terutama ibu bapa kadangkala bantu jaga anak manakala guru di sekolah anak-anak pula sanggup bantu hubungi anak ketika bertugas di luar negara," katanya.

Selama 25 tahun Norhasram berkhidmat bersama TLDM, tiada istilah sesalan kerana minatnya sebagai profesion anggota keselamatan tidak pernah 'padam', malah itu banyak mengajar erti keamanan.

"Saya memang sukakan cabaran dan aktiviti lasak. Apabila ada panggilan temu duga saya sanggup pergi sehingga ke Kem Majidee semata-mata nak jadi askar.

"Sedangkan saya sudah mula mengikuti pengajian di Politeknik Jitra Kedah ketika itu dan sanggup berhenti apabila mendapat tawaran jadi tentera. Dapat juga panggilan jadi jururawat, tetapi tidak pergi kerana tidak berminat.

"Sebenarnya pada saya paling mencabar sepanjang menjadi anggota tentera ialah ketika tahun pertama. Tiga bulan pertama iaitu latihan intensif yang mana menukar pemikiran daripada awam kepada anggota tentera adalah saat paling getir.

"Mental dan fizikal diuji dan saya sendiri pernah melalui detik detik pahit dalam setiap latihan yang diberikan tidak pernah saya jangkakan seperti sepanjang kehidupan apabila berada dalam tentera. Tidak pula putus asa atau hendak balik kampung waktu itu. Sebaliknya gembira dapat menyarung seragam tentera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 7:00 AM