Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my


Shah Alam: Sebanyak 30 daripada 254 kes keganasan rumah tangga di Selangor yang direkodkan sejak Januari hingga September lalu membabitkan mangsa lelaki.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, jumlah kes itu diperolehi berdasarkan statistik yang diterima daripada Unit Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

"Daerah Hulu Langat merekodkan kes tertinggi iaitu 70 kes diikuti Gombak dan Subang Jaya masing-masing 34 kes; Klang (29) manakala jumlah keseluruhan bagi kawasan lain adalah 90 kes.

"Daripada jumlah keseluruhan kes ini, sebanyak 224 kes membabitkan mangsa wanita manakala 30 lagi adalah mangsa lelaki," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

SITI Mariah pada sidang media. FOTO Faiz Anuar
SITI Mariah pada sidang media. FOTO Faiz Anuar

Beliau berkata, jenis keganasan rumah tangga yang paling tinggi dilaporkan adalah yang menyebabkan kecederaan secara fizikal iaitu 119 kes.

Katanya, ia diikuti dengan 71 kes dengan sengaja atau cuba meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal dan 50 kes pemangsa melakukan penderaan psikologi serta emosi terhadap mangsa.

"Kes keganasan rumah tangga dilihat meningkat dengan mendadak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mungkin kerana tekanan yang dihadapi akibat PKP," katanya.

Dr Siti Mariah berkata, kerajaan negeri juga bekerjasama dengan Women Aid's Organisation (WOA) menerusi Program Komuniti Selamat Bersepadu bagi menyediakan keperluan seperti perubatan, tempat tinggal, pengangkutan dan makan minum kepada mangsa keganasan rumah tangga.

"Sepanjang April hingga Jun lalu, sebanyak 31 individu (mangsa keganasan rumah tangga) dilindungi iaitu 16 wanita; enam kanak-kanak lelaki; lima kanak-kanak perempuan; empat bayi lelaki dan dua bayi perempuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 3:42 PM