Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Kes jenayah termasuk seksual yang membabitkan kanak-kanak dan wanita di negara ini menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 12,890 kes pada tahun lalu berbanding 11,092 kes pada 2020.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, kes jenayah seksual yang membabitkan termasuk rogol, cabul, sumbang mahram, gangguan seksual, amang seksual, berkomunikasi seksual dengan kanak-kanak, penderaan kanak-kanak, buang bayi dan keganasan rumah tangga (KRT) adalah meningkat.

Menurutnya, jumlah kes rogol pada 2020 adalah sebanyak 1,378 kes meningkat kepada 1,398 kes tahun lalu, manakala sumbang mahram pula sebanyak 259 kes kepada 264 kes, cabul kehormatan (daripada 838 kes tahun 2020 kepada 865 kes tahun lalu), gangguan seksual (378 kes kepada 466 kes) dan dera kanak-kanak (545 kes kepada 687 kes) serta KRT (5,260 kes kepada 6,540 kes).

"Kes KRT ini, sebanyak 80 peratus membabitkan mangsa wanita dan selebihnya pula lain-lain mangsa termasuk kanak-kanak.

"Ini menunjukkan bahawa kes jenayah seksual yang membabitkan mangsa kanak-kanak dan wanita di negara ini meningkat.

"Pelbagai faktor yang menyebabkan kes ini meningkat termasuk kepincangan keluarga, media sosial, gajet tanpa kawalan, tekanan hidup dan taraf ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Perumahan Polis Kemumin, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Jalil berkata, kes KRT menyebabkan anak-anak terbiar dan tidak dipedulikan oleh ibu bapa sebelum mereka menjadi mangsa.

"Selain itu, kemudahan teknologi tanpa kawalan ibu bapa juga mendorong kepada kejadian kes jenayah seksual ini.

"Justeru, pihak kita menasihatkan dan meminta ibu bapa supaya mengawal tingkah laku anak-anak daripada melayari laman web negatif," katanya.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata, bagi mengambil keterangan kanak-kanak yang menjadi mangsa dan juga saksi kepada kes jenayah itu, sebanyak 15 CIC yang sudah beroperasi di seluruh negara dan 19 lagi dalam proses pembinaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Datuk Mohd Nor Yhazid Idris ketika berucap di majlis itu ucapannya berkata, polis Kelantan merakam percakapan seramai 74 kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah dan juga saksi bagi tahun lalu.

"Daripada jumlah itu, 62 orang adalah kanak-kanak perempuan dan 12 lelaki.

"Dalam kesemua rakaman terbabit, 65 adalah selari dengan laporan polis dan siasatan yang dibuat, manakala sembilan adalah negatif atau tidak selari.

"Rakaman percakapan yang dibuat adalah di bawah kes jenayah seksual termasuk rogol, keganasan rumah tangga dan kes dera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 4:41 PM
ABDUL Jalil melakukan gimik Majlis Perasmian Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kelantan di Perumahan Polis Kemumin, Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ABDUL Jalil melakukan gimik Majlis Perasmian Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kelantan di Perumahan Polis Kemumin, Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar