KAEDAH pengawalan ibu bapa terhadap peranti adalah pendekatan paling wajar untuk memantau.
KAEDAH pengawalan ibu bapa terhadap peranti adalah pendekatan paling wajar untuk memantau.
IBU bapa perlu main peranan paling utama dalam memantau peranti anak-anak supaya tidak terjebak dengan pemangsa siber.
IBU bapa perlu main peranan paling utama dalam memantau peranti anak-anak supaya tidak terjebak dengan pemangsa siber.
Muhammad Saufi Hassan


MENJADI tanggungjawab ibu bapa untuk sentiasa mengawal tempoh masa skrin peranti pintar dalam kalangan anak-anak mereka, sekali gus merendahkan risiko daripada menjadi mangsa jenayah siber.

Kanak-kanak pada hari ini sangat terkait rapat dengan peranti pintar dan ibu bapa tidak boleh menyekat secara menyeluruh sebaliknya memainkan peranan dengan penggunaan yang lebih bijaksana.

Dunia siber pada hari ini mempunyai pelbagai ancaman khususnya membabitkan jenayah seksual kanak-kanak yang dilihat semakin membimbangkan.

Lebih membimbangkan apabila lebih 100,000 alamat Protokol Internet (IP) yang berdaftar di negara ini dikenal pasti terbabit dalam pornografik kanak-kanak dalam tempoh enam tahun ini.

Berdasarkan rekod, sebanyak 106,764 alamat IP ini direkodkan bermula pada 2017 hingga Ogos lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan berhubung eksploitasi membabitkan pornografi kanak-kanak.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, angka itu yang didedahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan tahap membimbangkan berhubung pornografik kanak-kanak, sekali gus memerlukan satu usaha secara bersama.

LEBIH 100,000 IP berdaftar di negara ini dikatakan melayari laman web lucah berkaitan kanak-kanak.
LEBIH 100,000 IP berdaftar di negara ini dikatakan melayari laman web lucah berkaitan kanak-kanak.

Menurutnya, ibu bapa perlu memainkan peranan lebih efektif dengan sentiasa memantau anak-anak termasuk jumlah masa di skrin peranti terutama peruntukan masa untuk sesuatu aplikasi.

"Ini sangat penting kerana ibu bapa boleh mengesan sebarang bentuk pelayaran oleh anak-anak yang mencurigakan dan menyekat sebarang bentuk komunikasi dengan orang yang tidak dikenali.

"Untuk kita sekat terus gajet kepada anak-anak ini tidak boleh kerana dunia pembelajaran mereka juga banyak terkait dengan peranti pintar, jadi apa yang boleh kita lakukan adalah memantau secara berterusan.

"Masalah eksploitasi kanak-kanak dalam ruang pornografi ini perlu dibendung dengan usaha bersama khususnya ibu bapa dan agensi penguatkuasaan," katanya.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun menyatakan bahawa angka berkenaan amat membimbangkan dan memerlukan usaha khusus untuk memberi pemahaman kepada kanak-kanak.

KAWAL tempoh skrin peranti pintar anak-anak elak risiko jadi mangsa jenayah siber.
KAWAL tempoh skrin peranti pintar anak-anak elak risiko jadi mangsa jenayah siber.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut melihat bahawa trend ini sebagai perkembangan yang tidak sihat terutama membabitkan golongan yang mudah terdedah dengan bahan pornografik, sekali gus mendorong kepada ketagihan seks.

Berkongsi statistik kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak, Rina dalam laporan media itu berkata, sejak Januari hingga Jun lalu, PDRM menerima 47 kes rogol berkumpulan, 95 kes (seks luar tabii), 127 kes (sumbang mahram), 438 kes (cabul) dan 641 kes membabitkan jenayah rogol.

Beliau berkata, KPWKM melaksanakan pelbagai usaha antaranya menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Bersepadu Pengurusan Isu-isu Sosial Kanak-Kanak di media sosial pada 15 Jun tahun lalu, memperkasakan perkhidmatan kaunseling di 108 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah serta memperkasakan peranan komuniti dengan melantik 299 Pembantu Pelindung di Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Peranan serta pemantauan daripada ibu bapa perlu diterapkan dengan pelbagai kaedah antaranya yang paling mudah adalah menggunakan khidmat 'parental control' pada setiap gajet, peranti dan akaun e-mel.

Kaedah ini membolehkan ibu bapa melihat aktiviti anak-anak, malah notifikasi dihantar kepada ibu bapa jika anak-anak melayari laman web yang meragukan, sekali gus terdedah kepada pemangsa siber.

MENGGUNAKAN khidmat ‘parental control’ pada setiap gajet, peranti dan akaun e-mel.
MENGGUNAKAN khidmat ‘parental control’ pada setiap gajet, peranti dan akaun e-mel.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 6:40 AM