PENGAWALAN tempoh waktu gajet dengan anak-anak adalah langkah terbaik mengurangkan risiko terutama membabitkan keupayaan bertutur.
PENGAWALAN tempoh waktu gajet dengan anak-anak adalah langkah terbaik mengurangkan risiko terutama membabitkan keupayaan bertutur.
Muhammad Saufi Hassan


Tidak dapat dinafikan bahawa peranti pintar pada ketika ini sangat penting, khususnya untuk golongan dewasa kerana ia adalah medium komunikasi digital serta gerbang segala maklumat dengan kewujudan internet.

Sama juga dibandingkan untuk remaja serta kanak-kanak, kebanyakan mereka menggunakan peranti berkenaan untuk berhubung dengan ibu bapa khusus bagi keluarga yang bekerja.

Namun, di sebalik elemen positif berkenaan, wujud satu sisi gelap berhubung peranti pintar ini khususnya jika ibu bapa memberikan peranti ini terlalu awal.

Ia bukan saja terdedah kepada akses maklumat yang tidak sepatutnya dilayari seperti laman lucah dan sebagainya, malah jika kanak-kanak pada peringkat awal didedahkan dengan peranti pintar, ia mungkin mengakibatkan masalah lain seperti 'speech delay'.

Hal ini sering berlaku pada masa kini kerana pendekatan ibu bapa yang lebih cenderung membenarkan penggunaan gajet pada usia awal iaitu untuk kanak-kanak tiga tahun ke bawah.

Pendedahan peranti pintar kepada kanak-kanak di awal usia sebenarnya membawa lebih banyak kesan negatif termasuk masalah pertuturan, kadar rabun dalam kalangan kanak-kanak dan bermacam lagi masalah lain.

Pengawalan tempoh waktu gajet dengan anak-anak adalah langkah terbaik supaya mengurangkan risiko masalah lain terutama membabitkan keupayaan untuk bertutur.

Menerusi satu kajian baharu yang dilaksanakan oleh firma keselamatan siber terkemuka, Kaspersky mendedahkan wujud pertalian langsung antara tabiat ibu bapa dalam menghabiskan masa dengan gajet dengan perilaku anak mereka.

WUJUD satu sisi gelap berhubung peranti pintar khususnya jika ibu bapa memberikan peranti ini terlalu awal.
WUJUD satu sisi gelap berhubung peranti pintar khususnya jika ibu bapa memberikan peranti ini terlalu awal.

Data empirikal yang diperoleh menunjukkan bahawa sebanyak 82 peratus orang dewasa dan 70 peratus kanak-kanak cenderung untuk meniru perbuatan ibu bapa mereka dalam tabiat tempoh waktu dengan gajet.

Kajian secara terperinci yang dilaksanakan oleh firma keselamatan siber itu juga mendedahkan bahawa kanak-kanak sentiasa memerhatikan kelakuan ibu bapa mereka sebelum bertindak untuk meniru perbuatan berkenaan.

Kaspersky juga menyatakan bahawa wujud perhubungan langsung antara tempoh skrin antara ibu bapa dan anak mereka termasuk tabiat dalam kalangan orang dewasa.

Ada juga ibu bapa yang memberikan gajet ini umpama 'ubat pelali' kepada kanak-kanak untuk menyuruh mereka diam, namun dalam satu tempoh yang lama tanpa kawalan.

Tindakan itu sekali gus memungkinkan golongan berkenaan mengalami ketagihan peranti pintar ketika di peringkat awal pembesaran.

Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC) Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari menyatakan bahawa wujud tindakan segelintir ibu bapa yang memberikan gajet untuk mententeramkan emosi anak-anak atau boleh dikatakan sebagai 'pelali'.

"Dalam situasi ini lebih mendedahkan kepada ketagihan kerana ketenangan apabila melihat atau menggunakan peranti secara berterusan akan menjadikan kanak-kanak serta remaja bergantung kepada peranti.

PERANTI pintar sangat penting khususnya kepada golongan dewasa, namun ia membawa banyak kesan negatif pada kanak-kanak di awal usia.
PERANTI pintar sangat penting khususnya kepada golongan dewasa, namun ia membawa banyak kesan negatif pada kanak-kanak di awal usia.

"Kesilapan juga berlaku apabila ibu bapa tidak mendidik anak-anak mereka serta tidak mempedulikan mengenai kecenderungan aktiviti mereka ketika menggunakan peranti di internet.

"Keadaan ini mengundang kepada salah guna kemudahan peranti berkenaan, sekali gus mungkin terdedah dengan pornografi atau ketagihan bermain permainan mudah alih," katanya.

Dr Muhammad Muhsin berkata, walaupun ketagihan peranti atau internet ini belum secara formalnya dikategorikan sebagai penyakit mental, namun langkah pencegahan perlu dilakukan ibu bapa.

"Kalau dilihat cabang utama ketagihan peranti atau internet boleh dianalisiskan antara lain ketagihan terhadap penggunaan media sosial, platform sembang (chatting) atau permesejan (messaging), permainan, pornografi serta perjudian atas talian.

"Semua platform itu mempunyai sebab berlainan kenapa kecenderungan ketagihan internet atau peranti boleh berlaku.

"Di China, dianggarkan kira-kira 13 peratus daripada remaja mempunyai masalah dalam penggunaan internet secara berlebihan, sekali gus ia menunjukkan masalah ini adalah realiti masa kini," katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak berusia kurang dua tahun perlu rangsangan fizikal seperti berinteraksi secara bersemuka, perkembangan sensorimotor, mempelajari asas interaksi sosial seperti bercakap menggunakan perkataan dan memberi respons mimik muka.

PENDEDAHAN peranti pintar di awal usia bawa lebih banyak kesan negatif termasuk masalah pertuturan.
PENDEDAHAN peranti pintar di awal usia bawa lebih banyak kesan negatif termasuk masalah pertuturan.

Katanya, perkembangan sosial ini boleh terencat jika penggunaan peranti digunakan pada peringkat berkenaan dan ada pelbagai risiko lain antaranya masalah penglihatan, gangguan tidur serta kegemukan.

"Mengikut daripada saranan, peringkat awal ini hanya dibenarkan kurang dua jam sehari untuk menggunakan peranti pintar seperti menonton platform penstriman video atau internet.

"Tidak dapat dinafikan bahawa berkemungkinan pendedahan berlebihan menyumbang kepada masalah kanak-kanak lambat untuk bercakap atau 'speech delay' kerana terlalu bergantung dengan gajet.

"Saya menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau kandungan atau kecenderungan anak-anak ketika melayari internet serta melakukan satu had tempoh masa kepenggunaan," katanya.

Dr Muhammad Muhsin berkata, itu adalah kaedah terbaik mengawal masalah ketagihan peranti pintar dalam kalangan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 6:20 AM