PdPR dikatakan beri ruang anak gunakan gajet berlebihan namun ibu bapa perlu mengawasi melalui tetapan tempoh skrin.
PdPR dikatakan beri ruang anak gunakan gajet berlebihan namun ibu bapa perlu mengawasi melalui tetapan tempoh skrin.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

Situasi pembelajaran hari ini melalui keadaan sangat berbeza apabila pembelajaran fizikal tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya memandangkan penularan pandemik Covid-19.

Murid atau pelajar menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk mengurangkan risiko di tempat tumpuan.

Bagaimanapun, wujud pendapat tertentu bahawa kaedah PdPR berkenaan akan memberi ruang kepada anak untuk 'meluangkan' lebih masa dengan gajet sekali gus mengundang pelbagai risiko tertentu.

Namun, kaedah PdPR yang dilaksanakan bukan lesen untuk anak terus melekat dengan gajet mereka seperti tablet atau telefon pintar sebaliknya memerlukan pengawasan ibu bapa sepanjang masa.

Ketua Bahagian Kelestarian Digi Telecommunications, Philip Ling berkata, ibu bapa atau penjaga boleh melakukan tetapan tempoh skrin atau 'screen time' dan membuat had tertentu.

PEMBELAJARAN PdPR memberi ruang lebih banyak kepada anak-anak bersama gajet dan memerlukan pemantauan ibu bapa.
PEMBELAJARAN PdPR memberi ruang lebih banyak kepada anak-anak bersama gajet dan memerlukan pemantauan ibu bapa.

"Boleh dikatakan semua peranti pintar hari ini mempunyai tetapan untuk mengehadkan tempoh skrin oleh pengguna terutamanya untuk penggunaan anak-anak.

"Menerusi kaedah tetapan masa skrin itu, ibu bapa akan meletakkan had tertentu seperti sejam atau sebagainya dan apabila melangkaui tempoh berkenaan notifikasi akan diberikan serta tidak membenarkan akses.

"Ia adalah langkah terbaik untuk ibu bapa supaya mengehadkan masa untuk anak mereka. Kita tidak mahu kaedah pembelajaran baharu menjadi lesen untuk anak-anak kita meluang masa yang melampau dengan peranti pintar mereka," katanya.

Pada masa sama, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, keadaan itu akan mengakibatkan murid atau pelajar mempunyai lebih waktu dengan gajet mereka sekali gus wujud kebimbangan dalam kalangan ibu bapa berhubung keadaan itu.

Katanya, kanak-kanak terdedah dengan gajet untuk aktiviti pembelajaran mereka seperti kelas dalam talian sehingga kepada latihan sesuatu subjek juga membabitkan dalam talian.

"Melihat kepada sudut positif, kemajuan teknologi hari ini membantu kanak-kanak atau semua peringkat umur untuk meneruskan pembelajaran tanpa mengira keadaan, tempat atau masa dan hanya bergantung kepada keupayaan jaringan Internet.

"Bagaimanapun, wujud sisi gelap apabila pendedahan terlalu lama kepada gajet mungkin mengundang masalah lain termasuk wujud peratusan kecil penyalahgunaan gajet oleh anak-anak.

NOTIFIKASI akan menyatakan tidak dibenarkan akses selepas melangkaui tempoh ditetapkan.
NOTIFIKASI akan menyatakan tidak dibenarkan akses selepas melangkaui tempoh ditetapkan.

"Langkah wajar yang perlu diambil oleh ibu bapa adalah melaksanakan beberapa langkah supaya pengawalan kandungan dapat dilaksanakan dan tidak hanya bergantung kepada kata kekunci," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa boleh membuat tetapan akses menggunakan penghala (router) untuk membuat sekatan kandungan yang dirasakan tidak diperlukan oleh anak-anak.

"Jika anak-anak menggunakan peranti keluaran Apple seperti iPad, mereka boleh melaksanakan fungsi 'Childs Lock' dengan membuat tetapan pada pilihan paparan masa (Screen Time) dan memilih kandungan sekatan privasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 7:00 AM