Tidak ramai ibu bapa guna kawalan peranti kekang kanak-kanak layari kandungan tak sepatutnya
Tidak ramai ibu bapa guna kawalan peranti kekang kanak-kanak layari kandungan tak sepatutnya
Muhammad Saufi Hassan


KEGUNAAN peranti pintar sememangnya memberi dimensi baharu dalam aspek pendidikan awal kanak-kanak malah hampir semua maklumat boleh diperoleh dengan hanya menekan kekunci perkataan.

Gerbang dunia pintar ini juga memberi perubahan dalam aspek pendidikan kanak-kanak pada hari ini apabila mereka lebih terdedah dengan kefungsian Internet yang menyeluruh.

Bagaimanapun, wujud satu masalah dalam penggunaan peranti pintar ini apabila kanak-kanak yang terdedah secara berlebihan akan meningkatkan risiko 'ketagihan peranti pintar'.

Berdasarkan kepada satu dapatan Kaji Selidik Kepenggunaan Internet Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 2020 memperlihatkan peratusan peningkatan kanak-kanak serta remaja berusia lima hingga 17 tahun daripada 18.4 peratus pada 2016 kepada 47 peratus pada 2020.

Daripada satu sudut positif, ia menunjukkan bahawa penembusan digital dalam kalangan kanak-kanak adalah tinggi sekali gus satu premis ringkas boleh dibina iaitu kanak-kanak di negara ini mempunyai literasi teknologi yang tinggi.

Bagaimanapun, jika diperhalusi data berkenaan juga mendedahkan bahawa

hanya 34.4 peratus ibu bapa saja yang menggunakan kawalan peranti atau 'parental control' sebagai penghalang kanak-kanak melayari kandungan tidak sepatutnya.

KANAK-kanak yang berada di peringkat awal pembelajaran perlu dikawal pendedahan dengan peranti pintar untuk mengelakkan masalah lain.
KANAK-kanak yang berada di peringkat awal pembelajaran perlu dikawal pendedahan dengan peranti pintar untuk mengelakkan masalah lain.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia Siraj Jalil menyatakan bahawa tempoh penggunaan Internet melebihi lapan jam sehari juga turut meningkat kepada 11.5 peratus pada 2020 berbanding 8.1 peratus saja pada 2018.

Menurutnya, ibu bapa perlu memainkan peranan yang sangat besar dengan mengehadkan tempoh waktu di skrin untuk kanak-kanak.

Katanya, ibu bapa juga perlu melihat kandungan popular yang dilayari oleh anak mereka supaya mengetahui trend penggunaan peranti pintar berkenaan sekali gus mengelakkan akses kepada kandungan tidak sepatutnya.

"Bayangkan tempoh kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa melayari Internet melebihi 18 jam sehari iaitu menghampiri tempoh seharian sebanyak 24 jam.

KEGUNAAN peranti pintar banyak membantu pengajaran serta pembelajaran dalam dunia hari ini.
KEGUNAAN peranti pintar banyak membantu pengajaran serta pembelajaran dalam dunia hari ini.

"Pengguna Internet kita pada 2020 adalah sebanyak 88.7 peratus, jika dilihat daripada satu aspek, ia sangat bagus apabila kadar penetrasi digital kita tinggi namun kita juga perlu lihat aspek negatif yang lain.

"Berdasarkan perangkaan, kadar penetrasi Internet itu akan meningkat sehingga lebih 89 peratus menjelang 2025 manakala jika kita lihat kepada purata penggunaan kuota data turut meningkat," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Siraj berkata, kadar purata kuota data pada suku pertama tahun lalu adalah 25.7GB berbanding suku pertama 2019 hanya 16GB saja dan ini dilihat sejajar dengan peningkatan tempoh pengguna di ruang Internet.

Menurutnya, ramai dalam kalangan ibu bapa tidak menggunakan kawalan tempoh masa skrin anak-anak mereka jadi ia umpama memberikan senjata kepada golongan ini.

"Saya boleh ringkaskan bahawa gajet ini sebagai senjata, adakala ia membawa kepada aspek positif, ada ketika ia memberi keburukan jadi ibu bapa perlu memainkan peranan.

"Memang kita perlu akui, hampir semua maklumat sudah berada di ruang Internet dan boleh diakses pada bila-bila masa, namun bagaimana jika tiada kawalan.

IBU bapa perlu memainkan peranan penting dalam memantau kandungan serta tempoh skrin untuk kanak-kanak.
IBU bapa perlu memainkan peranan penting dalam memantau kandungan serta tempoh skrin untuk kanak-kanak.

"Mungkin kanak-kanak ini akan mengakses kandungan tidak sepatutnya seperti pornografi dan sebagainya, ini yang kita bimbangkan," katanya.

Katanya, ibu bapa mempunyai peranan yang besar pada era siber ini supaya mereka turut sama-sama celik teknologi supaya boleh memberikan garis panduan kepada anak-anak kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 7:00 AM