PENDEKATAN kelas atas talian menjadi medium utama  pembelajaran hari ini susulan pandemik Covid-19 dan keadaan itu memberi ruang kepada anak-anak untuk mempunyai masa lebih dengan gajet mereka. - FOTO Google
PENDEKATAN kelas atas talian menjadi medium utama pembelajaran hari ini susulan pandemik Covid-19 dan keadaan itu memberi ruang kepada anak-anak untuk mempunyai masa lebih dengan gajet mereka. - FOTO Google
Muhammad Saufi Hassan


KAEDAH pembelajaran hari ini lebih terarah kepada medium kelas atas talian sekali gus memberi akses kepada anak-anak untuk mempunyai lebih masa dengan gajet atau peranti pintar.

Situasi pembelajaran atas talian ini juga nampaknya akan diteruskan sekurang-kurangnya untuk tiga bulan pertama tahun ini apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah menangguhkan sesi persekolahan secara bersemuka.

Berdasarkan takwim persekolahan, sesi 2021 akan bermula esok namun keputusan terbaru KPM minggu lalu memberi gambaran bahawa situasi jangkitan pandemik yang serius memerlukan langkah pencegahan yang proaktif.

Sesi persekolahan secara bersemuka untuk sesi 2021 terpaksa ditangguhkan susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Hanya pelajar yang menduduki peperiksaan utama saja dibenarkan untuk mengikuti pembelajaran serta pengajaran secara bersemuka namun mereka perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sangat ketat.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, keadaan itu akan mengakibatkan murid atau pelajar mempunyai lebih waktu dengan gajet mereka sekali gus wujud kebimbangan dalam kalangan ibu bapa berhubung keadaan itu.

Katanya, kanak-kanak terdedah dengan gajet untuk aktiviti pembelajaran mereka seperti kelas atas talian sehingga kepada latihan sesuatu subjek juga membabitkan atas talian.

"Melihat kepada sudut positif, kemajuan teknologi hari ini membantu kanak-kanak atau semua peringkat umur untuk meneruskan pembelajaran tanpa mengira keadaan, tempat atau masa dan hanya bergantung kepada keupayaan jaringan Internet.

"Bagaimanapun, wujud sisi gelap apabila pendedahan terlalu lama kepada gajet mungkin mengundang masalah lain termasuk wujud peratusan kecil penyalahgunaan gajet oleh anak-anak.

TINGKATKAN kawalan keselamatan pada peranti anak anda. - FOTO Google
TINGKATKAN kawalan keselamatan pada peranti anak anda. - FOTO Google

"Langkah wajar yang perlu diambil oleh ibu bapa adalah melaksanakan beberapa langkah supaya pengawalan kandungan dapat dilaksanakan dan tidak hanya bergantung kepada kata kekunci," katanya kepada #ITMetro, semalam.

Beliau berkata, ibu bapa boleh membuat tetapan akses menggunakan penghala (router) untuk membuat sekatan kandungan yang dirasakan tidak diperlukan oleh anak-anak.

"Jika anak-anak menggunakan peranti keluaran Apple seperti iPad, mereka boleh melaksanakan fungsi 'Childs Lock' dengan membuat tetapan pada pilihan paparan masa (Screen Time) dan memilih kandungan sekatan privasi.

"Langkah paling proaktif adalah ibu bapa perlu kerap berinteraksi dengan anak-anak berhubung proses pembelajaran mereka setiap hari dan berkomunikasi dengan guru.

"Memang tidak dapat dinafikan masih ada kelemahan dalam pembelajaran atas talian ini, namun ia adalah platform pembelajaran masa depan," katanya.

Menurutnya, sudah menjadi peranan ibu bapa untuk mengingatkan anak-anak mereka tentang kesedaran kepenggunaan teknologi sudah tidak disalahguna dengan melayari kandungan tidak sepatutnya atau terjerat dengan sebarang sindiket penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 7:00 AM