AKTRES Amerika Syarikat, Priscilla Presley bergambar dengan bongo yang pernah dihadiahkan kepada bekas suaminya Elvis Presley pada satu pameran di London, pada 2014. FOTO fail AFP
AKTRES Amerika Syarikat, Priscilla Presley bergambar dengan bongo yang pernah dihadiahkan kepada bekas suaminya Elvis Presley pada satu pameran di London, pada 2014. FOTO fail AFP
AFP

London: Pertunjukan baharu memaparkan raja rock 'n roll, Elvis Presley akan dipersembahkan di tengah London, akhir tahun ini, dengan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI).

'Elvis Evolution' menampilkan Elvis dalam bentuk 'digital bersaiz sebenar' yang 'membuat persembahan' di atas pentas. Ia adalah persembahan pertama dalam siri pertunjukan di bandar-bandar utama termasuk Las Vegas, Tokyo dan Berlin.

Syarikat dari United Kingdom, Layered Reality menganjurkan persembahan itu menggunakan AI, unjuran holografik, realiti terimbuh (augmented reality), teater dan kesan pelbagai deria untuk meraikan kehidupan dan warisan penyanyi itu.

Ia menjanjikan persembahan yang tidak dapat dilihat sebelum ini yang dicipta menggunakan ribuan gambar dan video peribadi, susulan perjanjian dengan syarikat yang memiliki harta pusaka Elvis iaitu Authentic Brands Group.

Ketua Eksekutif Layered Reality, Andrew McGuinness menggelar rancangan itu sebagai penghormatan generasi akan datang kepada legenda muzik iaitu Elvis Presley.

Persembahan itu yang dijadualkan dibuka pada November, akan menggunakan muzik, teknologi dan penceritaan untuk berkongsi kisah hidup Elvis dan kepentingannya kepada budaya antara hingga 1950-an dan 1960-an.

Sementara itu, Ketua Hiburan Authentic Brands Group, Marc Rosen berkata, persembahan itu akan memberi peminat cara baharu yang mengasyikkan untuk mengalami kehidupan dan warisan Elvis Presley

Presley, salah seorang artis muzik terlaris sepanjang zaman, meninggal dunia pada usia 42 tahun di sebuah rumah agam di Graceland, Memphis, Tennessee, pada 1977.

'Elvis Evolution' muncul selepas kejayaan persembahan avatar digital ABBA 'ABBA Voyage' menampilkan kumpulan super Sweden, di tempat dibina khas di timur London, pada Mei 2022.

Bloomberg melaporkan pada September tahun lalu bahawa persembahan avatar digital ABBA berjaya menjual lebih daripada 1.5 juta tiket, menjana lebih daripada AS$150 juta (kira-kira RM696.3 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 10:11 AM