RAKAMAN Joe Jonas dan Sophie Turner berkahwin.
RAKAMAN Joe Jonas dan Sophie Turner berkahwin.
Reuters

LONDON: Penyanyi Joe Jonas dilaporkan mengahwini pelakon ‘Game of Thrones’ Sophie Turner semalam, selepas gambar pasangan itu di hadapan penghibur pengajuk Elvis Presley di Las Vegas dikongsi menerusi media sosial.

Pasangan itu dilaporkan berkahwin selepas Jonas juga anggota kumpulan Jonas Brother mengadakan persembahan dengan adik-beradiknya di Anugerah Muzik Billboard, di bandar raya itu.

Menurut wakil Turner yang memegang watak sebagai Sansa Stark dalam siri terakhir Game of Thrones, mengesahkan kepada Reuters menerusi e-mel bahawa pasangan itu yang bertunang pada 2017, sudah berkahwin.

Deejay radio Amerika Syarikat, Diplo turut berkongsi beberapa video pasangan berkenaan menerusi akaun Instagram, menunjukkan Turner berpakaian putih dan Jonas tiba di lokasi perkahwinan dengan kapsyen ‘perkahwinan ini berlangsung dengan pantas’.

Pengantin perempuan berusia 23 tahun juga dilihat berjalan di laluan dengan memakai kerudung sambil memegang sejambak bunga, ketika kumpulan San + Say menyanyikan lagu ‘Speechless’.

Satu video lagi yang dikongsi di sosial media menunjukkan pasangan itu bertukar lafaz pernikahan di hadapan penghibur pengajuk Presley.

Sementara itu, dalam temubual dengan majalah Harper’s Bazaar terbitan Mac lalu, Turner berkata, pasangan itu mahu mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana.

Majlis perkahwinan itu diadakan lima bulan selepas adiknya, Nick berkahwin dengan pelakon Priyanka Chopra di India.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 10:09 PM