BERRY ketika zaman kemuncaknya.  - Agensi
BERRY ketika zaman kemuncaknya. - Agensi
Agensi

Missouri: Chuck Berry, antara pengasas muzik rock ‘n’ roll dan yang membantu membentuk budaya moden remaja dengan muziknya meninggal dunia di kediamannya di sini, semalam.

Polis di St Charles County, tidak jauh dari St Louis berkata, pasukan perubatan yang tiba di kediaman pemuzik itu menemui Berry yang berusia 90 tahun tidak sedarkan diri.

Usaha memberi bantuan kecemasan bagi menyedarkannya gagal.

Meskipun Elvis Presley digelar raja rock ‘n’ roll, gelaran itu juga sesuai diberikan kepada Berry yang nama sebenarnya Charles Edward Anderson Berry.

Dia muncul ketika muzik rock baru sahaja bermula pada 1950-an.

Antara lagu popular yang dihasilknnya ialah ‘Johnny B. Goode,’ ‘Roll Over Beethoven,’ ‘Sweet Little Sixteen,’ ‘Maybellene’ dan ‘Memphis’.

Berry, antara penyanyi yang mengarang dan menyanyi lagu sendiri dikagumi pemuzik seperti Keith Richards, Paul McCartney, John Lennon dan Bruce Springsteen.

Bob Dylan menggelar mendiang ‘Shakespeare rock’n’roll.’ Baik Beatles, Rolling Stones, Beach Boys dan sejumlah penyanyi lain, termasuk Presley pernah membuat persembahan dengan menyanyikan lagu Berry.

Lennon pernah berkata: “Jika anda mahu memberi nama lain kepada rock ‘n’ roll, anda boleh menamakannya ‘Chuck Berry’.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 7:43 AM