GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

London: Kerajaan Britain mengumumkan rancangan untuk melaksanakan peraturan lebih ketat terhadap platform penstriman dalam talian.

Di bawah cadangan ini, perkhidmatan seperti Netflix, Disney+ dan Amazon Prime Video akan berdepan peraturan sama seperti penyiar tradisional termasuk BBC, ITV dan Sky.

Setiausaha Kebudayaan, Oliver Dowden berkata, cadangan itu akan menjadikan persaingan adil antara penyiar dan perkhidmatan video atas permintaan (VOD).

Saluran televisyen di Britain perlu mematuhi kod penyiaran yang ditetapkan Office of Communications (Ofcom) yang merangkumi bidang seperti kandungan berbahaya dan laporan berita yang adil.

Tetapi platform penstriman dalam talian - kecuali perkhidmatan atas permintaan BBC, iPlayer menghadapi peraturan lebih ringan, terutamanya terhad dalam melindungi kanak-kanak dan mencegah kandungan yang menimbulkan kebencian.

Netflix dan Apple TV+ sama sekali tidak terikat dengan peraturan ditetapkan di Britain.

Pembaharuan ini juga bertujuan untuk meningkatkan keunggulan penyiar perkhidmatan awam secara dalam talian bagi memastikan program mereka dapat diakses dengan mudah di TV pintar dan peranti lain.

"Teknologi telah mengubah penyiaran tetapi peraturan melindungi penonton dan membantu saluran tradisional bersaing sudah bermula sejak zaman analog.

"Sudah tiba masanya untuk melihat bagaimana kita dapat memanfaatkan potensi penyiar perkhidmatan awam kita sambil memastikan penonton dan pendengar yang menggunakan kandungan dalam format baru dilayani oleh sistem yang adil dan berfungsi dengan baik," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 7:26 PM