TAN Sri Annuar Musa yang juga Ahli Parlimen Ketereh menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri. FOTO Bernama
TAN Sri Annuar Musa yang juga Ahli Parlimen Ketereh menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengguna perkhidmatan penstriman dalam talian seperti Netflix perlu melakukan pendekatan kendiri bagi mengawal kandungan yang bercanggah dengan nilai-nilai budaya dan sensitiviti negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, pada masa ini, Malaysia belum mempunyai mekanisme khusus membendung kandungan perkhidmatan penstriman dalam talian kategori over-the-top (OTT) berpangkalan di luar negara yang tidak tertakluk kepada akta sedia ada.

"Akta (sedia ada) ini sedang kami teliti tentang bagaimana kaedah pengawalan penstriman dalam talian, ini satu cabaran yang dihadapi oleh semua negara terutama bagi streaming yang bersifat OTT dan kami perlu mencari jalan yang bersesuaian.

"Buat masa ini, apa yang boleh dilakukan ialah mengadakan pelan atau tindakan yang bersifat advokasi bagi memastikan ada kematangan dalam soal memilih program yang ada, undang-undang kita hanya tertakluk kepada platform berdaftar dan dilesenkan dalam negara ini," katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) mengenai langkah membendung adegan seksual dan kandungan berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam program yang disiarkan menerusi perkhidmatan penstriman dalam talian seperti Netflix.

Annuar berkata, Netflix turut menyediakan khidmat parental control (kawalan ibu bapa) bagi mengupayakan golongan ibu bapa mahupun penjaga dalam mengawal selia penggunaan platform itu terhadap anak-anak mereka.

Katanya, melalui khidmat itu, sesetengah kandungan seperti filem yang ditarafkan sebagai 'Remaja' dan 'Dewasa' dapat disekat daripada ditonton dengan kata laluan yang ditetapkan oleh ibu bapa dan penjaga.

Dalam pada itu, Annuar berkata, dari 2018 sehingga 30 September lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah melaksanakan tindakan sekatan ke atas 4,068 laman pornografi dan usaha itu akan diteruskan berasaskan aduan yang diterima serta pemantauan proaktif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 4:42 PM