LOGO Netflix di bangunannya di Los Angeles. FOTO AFP
LOGO Netflix di bangunannya di Los Angeles. FOTO AFP
AFP

Washington: Gergasi penstriman, Netflix menggantung perkhidmatannya di Rusia sebagai protes terhadap pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.

Platform yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu sudah pun menghentikan perkhidmatannya di Rusia awal minggu ini, serta pengeluaran program asalnya.

"Memandangkan keadaan di lapangan, kami l memutuskan untuk menggantung perkhidmatan kami di Rusia," kata seorang jurucakap kepada majalah AS Variety.

Ketika dihubungi AFP, Netflix tidak segera memberi maklum balas.

Netflix ialah platform penstriman terkemuka dunia dengan 221.8 juta pelanggan pada akhir 2021.

Sementara itu, mengikut langkah sama, gergasi media sosial TikTok mengumumkan menangguhkan penyiaran semua kandungan video dari Rusia untuk memastikan pekerjanya selamat dan mematuhi peraturan "berita palsu" baharu negara itu.

"Berdasarkan undang-undang 'berita palsu' Rusia yang baharu, kami tidak mempunyai pilihan selain menggantung penstriman langsung dan kandungan baharu kepada perkhidmatan video kami sambil menyemak implikasi keselamatan undang-undang ini," kata syarikat itu dalam mesej Twitter, sambil menambah perkhidmatan pemesejan aplikasi tidak akan terjejas.

Presiden Rusia Vladimir Putin menandatangani rang undang-undang yang memperkenalkan hukuman penjara sehingga 15 tahun kerana menerbitkan 'berita palsu' mengenai tentera Rusia, ketika Moscow meneruskan pencerobohannya ke atas Ukraine.

Undang-undang itu mendapat tindak balas pantas daripada pengkritik, tetapi pada hujung minggu, Kremlin mempertahankan undang-undang baharu itu mengatakan negara itu sedang menghadapi "perang maklumat" yang memerlukan tindakan balas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 9:37 AM