Pelarian Syria menggunakan TikTok untuk meraih wang derma. FOTO Agensi
Pelarian Syria menggunakan TikTok untuk meraih wang derma. FOTO Agensi
Agensi

Riyadh: Beberapa kanak-kanak Syria di kem pelarian menggunakan platform gergasi media sosial popular, TikTok sebagai ruang 'meminta sedekah'.

Taktik baharu itu dikesan TikTok sebelum syarikat itu mengenakan larangan membuat penstriman langsung bagi pengguna di bawah usia 18 tahun bermula 23 November ini.

Penguatkuasaan larangan itu adalah susulan beberapa laporan siasatan oleh Badan Penyiaran British (BBC) mengenai kes membabitkan kanak-kanak Syria di kem pelarian yang menggunakan platform TikTok sebagai ruang 'meminta sedekah'.

Menurut laporan BBC, ada antara mereka yang berjaya meraih 'derma' sehingga AS$1,000 (RM4,737) dalam masa sejam penstriman langsung dibuat.

Namun begitu, apabila pemilik akaun mahu menukar wang itu menjadi tunai, TikTok dilaporkan mengenakan 'cukai' 70 peratus daripada jumlah keseluruhan wang yang dikumpul.

TikTok berkata, ia akan mengambil tindakan segera terhadap 'pengemis yang mengeksploitasi' platform itu.

Ia juga menambah, jenis kandungan berkaitan pengumpulan derma atau dana adalah tidak dibenarkan di platformnya dan komisen yang diambil daripada hadiah digital adalah kurang daripada 70 peratus.

Lebih 30 akaun yang menggunakan kanak-kanak untuk mengemis dilaporkan kepada TikTok dan syarikat itu bertindak memadamkan video berkenaan.

Namun TikTok memaklumkan tiada sebarang pelanggaran isi kandungan berlaku.

"Kandungan jenis ini (derma atau dana) tidak dibenarkan di platform kami kerana ia melanggar Garis Panduan Komuniti.

"Kami sedang berusaha untuk mengukuhkan dasar global kami mengenai pengemis yang mengeksploitasi, untuk memastikan tiada pengguna digunakan sebagai cara untuk meningkatkan hadiah semasa penstriman langsung," kata jurucakap TikTok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 2:54 PM