THAILAND kini juga berdepan masalah pencemaran udara seperti di Chiang Mai (gambar), utara negara itu. FOTO AFP
THAILAND kini juga berdepan masalah pencemaran udara seperti di Chiang Mai (gambar), utara negara itu. FOTO AFP
BERNAMA

Bangkok: Cuaca panas terik di Thailand dijangka berterusan minggu ini dengan suhu dijangka boleh mencecah sehingga 42 darjah Celsius di wilayah tengah dan utara.

Menurut Jabatan Meteorologi Thailand, bahagian tengah dan utara akan mengalami cuaca panas dan berjerebu pada siang hari dengan beberapa kawasan menjadi sangat panas.

Ribut petir dengan tiupan angin turut dijangka berlaku, menurut jabatan itu.

"Daerah Bangna di Bangkok akan menjadi tempat paling panas di Thailand pada Rabu (hari ini) dengan indeks habanya dijangka mencecah 53.9 darjah Celsius.

"Ini diikuti Wilayah Chonburi di timur Bangkok dengan indeks haba dijangka melonjak kepada 52.3 darjah Celsius," menurut jabatan itu.

Tiga lagi kawasan paling panas ialah pulau peranginan Phuket dengan indeks haba 49 darjah Celsius, Phetchabun (46.8 darjah Celsius) dan daerah Kosum Phisai di Maha Sarakham (43.2 darjah Celsius).

Indeks haba yang juga dikenali sebagai suhu ketara ialah suhu yang dirasakan oleh tubuh manusia apabila kelembapan relatif digabungkan dengan suhu udara dan kelajuan angin.

Apabila indeks haba mencecah antara 27 dan 32 darjah Celsius – juga dikenali sebagai tahap berhati-hati – keletihan haba mungkin berlaku jika terdedah secara berpanjangan dan/atau terbabit dalam aktiviti fizikal.

Strok dan kekejangan haba mungkin berlaku apabila suhu mencecah antara 32 dan 41 darjah Celsius (sangat berhati-hati).

Pada suhu antara 41-54 darjah Celsius (bahaya), ia boleh menyebabkan strok dan kekejangan.

Apabila suhu mencecah lebih daripada 54 darjah Celsius (bahaya melampau), strok haba atau strok matahari berkemungkinan besar berlaku.

Jabatan Meteorologi menggesa orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar dan sentiasa berada di kawasan tertutup, minum banyak air dan kekal terhidrasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 8:47 AM