PENUNGGANG motosikal menunggu di kawasan teduh di kawasan simpang lampu Isyarat. FOTO AFP
PENUNGGANG motosikal menunggu di kawasan teduh di kawasan simpang lampu Isyarat. FOTO AFP
AFP

Bangkok: Thailand, semalam, mengeluarkan amaran baharu mengenai cuaca panas terik yang mencetuskan gelombang haba melampau, yang setakat ini menyebabkan sekurang-kurangnya 30 kematian akibat strok haba di negara ini, tahun ini.

Pihak berkuasa bandar raya di Bangkok memberi amaran itu susulan indeks haba yang dijangka meningkat melebihi 52 darjah Celsius dan dikelaskan sebagai 'amat berbahaya'.

Suhu di ibu kota Thailand mencecah 40.1 Celsius pada Rabu lalu.

Gelombang cuaca sangat panas melanda beberapa bahagian di Asia Selatan dan Asia Tenggara, minggu ini, mendorong sekolah di seluruh Filipina menangguhkan kelas, manakala penduduk Muslim di Bangladesh, berdoa bagi memohon hujan.

Indeks haba ialah ukuran paras suhu dengan mengambil kira kelembapan, kelajuan angin dan faktor lain.

"Amaran: Indeks haba hari ini 'amat berbahaya'. Sila hindari aktiviti di luar rumah," kata Jabatan Alam Sekitar Pihak Berkuasa Bandaraya Bangkok dalam catatan di Facebook.

Pihak berkuasa di wilayah Udon Thani juga memberi amaran mengenai suhu yang sangat panas pada Khamis.

Kementerian Kesihatan, Rabu lalu, mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 30 maut akibat strok haba bagi tempoh antara 1 Januari dan 17 April tahun ini, berbanding 37 kematian, sepanjang 2023.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, Direk Khampaen memberitahu AFP bahawa pegawai-pegawai kesihatan menggesa orang ramai khususnya orang tua dan mempunyai masalah kesihatan termasuk obesiti supaya tidak keluar rumah.

Ia bagi memastikan keselamatan mereka susulan keadaan suhu semakin meningkat, selain turut menasihatkan penduduk minum air dengan kerap.

April biasanya bulan paling panas di Thailand dan negara lain di Asia Tenggara, tetapi keadaan tahun ini diburukkan lagi oleh fenomena El Nino.

Tahun lalu menyaksikan tahap rekod gelombang haba di seluruh dunia, dengan agensi cuaca dan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan Asia mengalami pemanasan pada kadar yang sangat pantas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 10:28 AM