Gambar fail, Jalan Titi Tinggi - Tasoh dekat Empangan Timah Tasoh, Padang Besar. ARKIB NSTP.
Gambar fail, Jalan Titi Tinggi - Tasoh dekat Empangan Timah Tasoh, Padang Besar. ARKIB NSTP.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


JABATAN Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menafikan dakwaan bahawa Perlis sedang mengalami cuaca panas melampau sehingga mencapai suhu 39 darjah celsius.

Sebaliknya, Pengarah MET Malaysia Perlis, Mohd Saharudi Saad berkata, suhu tertinggi dicatatkan negeri itu setakat ini adalah 37.4 darjah celsius yang direkodkan pada Ahad lalu.

“Manakala pada Isnin sehingga semalam, suhu maksimum yang direkodkan sekitar 36 darjah celcius, tidak ada seperti dakwaan yang tular itu.

“Kali terakhir amaran cuaca kering dikeluarkan MET Malaysia pula pada 14 Februari lalu dan peralihan monsun dijangka berlaku selewat-lewatnya penghujung bulan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Saharudi berkata, ketika peralihan monsun itu, Perlis dijangka menerima taburan hujan pada sebelah petang.

Pihaknya menjangkakan taburan hujan akan meningkat dalam julat antara 76 hingga 100 milimeter bulan ini, berbanding cuma 32 milimeter pada Februari lalu.

Hari ini tular di aplikasi WhatsApp mendakwa Perlis sedang mengalami cuaca panas yang melampau sehingga suhu mencecah 39 darjah celsius dan pesanan supaya penduduk mengurangkan aktiviti luar bagi mengelak risiko strok haba.

Perlis pernah mengalami kepanasan melampau dengan suhu 40 darjah celsius yang kali terakhir berlaku pada 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 6:33 PM