PENJAJA berpeluh ketika menarik troli di sebuah pasar di Bangkok. FOTO AFP
PENJAJA berpeluh ketika menarik troli di sebuah pasar di Bangkok. FOTO AFP
AFP

Manila: Cuaca panas melampau di beberapa bahagian di Asia Selatan dan Asia Tenggara pada Rabu menyebabkan sekolah di seluruh Filipina menangguhkan kelas.

Jabatan Pendidikan Filipina, yang menyelia lebih 47,600 sekolah berkata, hampir 6,700 sekolah menggantung pengajaran dalam kelas secara bersemuka pada hari Rabu.

Di Bangladesh, ribuan orang berkumpul di Dhaka untuk berdoa memohon hujan ketika gelombang panas melampau, memaksa pihak berkuasa menutup sekolah di seluruh negara.

Biro cuaca Bangladesh berkata, purata suhu maksimum di ibu negara sepanjang minggu lalu adalah empat hingga lima darjah Celsius lebih tinggi daripada purata 30 tahun untuk tempoh sama.

Jabatan Meteorologi India pula berkata, gelombang haba yang teruk mungkin berlaku di negeri timur dan selatan seperti Odisha, Bengalla Barat, Sikkim dan Karnataka dalam tempoh lima hari akan datang.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Thailand di Bangkok mengeluarkan amaran panas melampau dan menggesa orang ramai untuk tinggal di dalam rumah.

Suhu diramalkan mencecah 39 darjah Celsius di Bangkok, manakala indeks haba meningkat melebihi 52 darjah Celsius.

Suhu tinggi itu direkodkan hanya sehari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, Asia adalah rantau yang paling banyak mengalami bencana akibat iklim dan cuaca pada 2023, dengan banjir dan ribut punca utama kematian dan kerugian ekonomi.

Penyelidikan saintifik yang meluas mendapati perubahan iklim menyebabkan gelombang haba menjadi lebih lama dan lebih kerap.

Mac, April dan Mei lazimnya adalah bulan paling panas dan kering di Filipina, tetapi keadaan tahun ini diburukkan lagi oleh fenomena El Nino.

Indeks haba dijangka mencapai tahap bahaya 42 darjah Celsius atau lebih tinggi di sekurang-kurangnya 30 bandar dan majlis perbandaran pada Rabu, kata peramal cuaca negeri.

Indeks haba mengukur suhu, dengan mengambil kira kelembapan.

Suhu global mencecah paras tertinggi tahun lalu dan Pertubuhan Meteorologi Sedunia PBB berkata, pemanasan di Asia berlaku pada kadar yang sangat pantas, dengan kesan gelombang haba di rantau itu menjadi lebih teruk.

Laporan Keadaan Iklim di Asia 2023 WMO mendapati Asia mengalami pemanasan lebih cepat daripada purata global, dengan suhu tahun lepas, hampir 2 darjah Celsius melebihi suhu purata antara 1961 hingga 1990.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 2:10 PM