Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) menjangka negara ini tidak akan mengalami strok haba atau ‘heat stroke’ seperti yang berlaku di India.

Timbalan Ketua Pengarah (Cuaca dan Iklim) JMM Alwi Bahari berkata, setakat beberapa minggu ini suhu cuaca yang dicatatkan tertinggi di negara ini adalah 36 darjah Celsius.

“Berdasarkan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ini memaklumkan strok haba lebih mudah berlaku apabila suhu badan melebihi 40.5 darjah Celsius melepasi suhu normal manusia biasa iaitu 37 darjah Celsius.

“JMM akan pantau dan memaklumkan kepada orang ramai sekiranya suhu di sesetengah kawasan menghampiri 40.5 darjah Celsius,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, cuaca panas dan kering yang melanda negara ini sekarang dikaitkan dengan tiupan angin monsun barat daya yang tidak membawa hujan.

“Bagaimanapun ada kawasan yang dikesan mengalami hujan lebat, tetapi ini perkara normal yang kerap melanda negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan orang ramai diminta mengurangkan aktiviti di luar rumah bagi mengelak strok haba.

“Pendedahan berpanjangan kepada cuaca dan suhu panas serta kurang minum air dan dehidrasi antara punca strok haba,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 8:35 AM