FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Bangkok: Hotel di Phuket menerima manfaat hasil tempahan bilik berbayar untuk 524,000 malam sejak pulau berkenaan dibuka di bawah inisiatif Phuket Sandbox sejak 11 minggu lalu.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19, Taweesilp Visanuyothin berkata, kumpulan pelancong terbesar dicatatkan dari Amerika Syarikat (AS).

Katanya, pulau berkenaan dibuka semula untuk pelancong asing sejak 1 Julai lalu dengan jumlah tempahan bilik hotel dicatatkan melebihi 500,000 malam setakat Selasa lalu.

"Pada Julai, tempahan bilik hotel berbayar dicatatkan sebanyak 190,860 malam, manakala pada Ogos (176,121) dan untuk September setakat Selasa lalu, mencapai 157,240 malam.

"Phuket juga menerima 32,005 pelancong dan hanya 91 daripada mereka (0.28 peratus) dijangkiti Covid-19," katanya.

Menurutnya, pelancong dari AS membentuk kumpulan terbesar dengan 5,668 orang sejak 1 Julai lalu, diikuti 3,699 orang (Israel), Emiriah Arab Bersatu (3,358), United Kingdom (3,338), Jerman (2,897), Perancis (2,671), Switzerland (1,101), Qatar (1,004), Belanda (693) dan Belgium (521).

Pada hari ini, seramai 284 pelancong tiba di pulau berkenaan dan semua disahkan negatif Covid-19.

Dalam tempoh 24 jam, 229 warga Thailand dan pekerja migran dijangkiti Covid-19 di Phuket dan sudah dimasukkan ke pusat rawatan.

Hanya 10 peratus daripada kes yang dilaporkan perlu menerima rawatan di hospital, katanya.

Ketika ini, pelancong hanya dibenarkan menginap selama tujuh malam di Phuket, berbanding 14 malam yang dinyatakan sebelum ini.

Berikutan itu, pelancong dibenarkan mengunjungi pulau dan pantai berhampiran seperti Surat Thani, Phangnga atau Krabi.

"Ia secara tidak langsung memberi manfaat kepada ketiga-tiga pulau itu di mana tempahan bilik berbayar untuk 7,135 malam direkodkan," katanya.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam, sebanyak 13,798 kes baru jangkitan Covid-19 dilaporkan dengan 144 kematian.

Sejak pandemik ini dikesan tahun lalu, Thailand mencatatkan 1.42 juta kes dan 14,765 kematian.

Rekod kematian harian tertinggi adalah sebanyak 312 pada 18 Ogos lalu dan kes jangkitan harian tertinggi dicatatkan sebanyak 23,418 pada 13 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 5:48 PM