Gambar fail yang diambil pada Ogos 2020 menunjukkan kanak-kanak menaiki buaian di pulau Koh Tao. - AFP
Gambar fail yang diambil pada Ogos 2020 menunjukkan kanak-kanak menaiki buaian di pulau Koh Tao. - AFP
AFP

Bangkok: Tiga lagi pulau di Thailand dibuka kepada pelancong yang sudah menerima vaksin walaupun negara berkenaan kini mencatatkan lonjakan kes jangkitan Covid-19 disebabkan varian Delta.

Tiga pulau berkenaan iaitu Samui, Tao dan Phangan mula dibuka untuk merancakkan sektor pelancongan Thailand.

Negara berkenaan melancarkan skim 'sandbox' sejak 1 Julai lalu yang membolehkan pelancong mengunjungi Phuket.

Di bawah inisiatif berkenaan, pelancong tidak perlu menjalani kuarantin di hotel tetapi tidak boleh keluar dari Phuket dalam tempoh dua minggu.

Bagi program membabitkan destinasi Samui, pelancong perlu menetap di hotel yang diluluskan dan hanya boleh meninggalkan bilik mereka selepas empat hari.

Mereka juga perlu membuktikan ujian negatif Covid-19 sebelum dibenarkan mengunjungi Tao atau Phangan selepas seminggu.

Setakat ini, Phuket menerima 5,000 pelancong asing sejak pembukaannya, di mana 10 pelancong didapati positif Covid-19.

Dalam pada itu, Thailand mencatatkan 9,186 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam terakhir dengan 79 daripadanya dikesan di penjara.

Jumlah angka kematian akibat wabak itu turut meningkat kepada 98 orang, tertinggi pernah direkodkan dalam tempoh 24 jam.

Kes kumulatif di negara itu setakat ini berjumlah 375,215 dengan sebanyak 3,032 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 6:51 PM