THAILAND buka pintu kepada pelancong sejak Julai lalu.
THAILAND buka pintu kepada pelancong sejak Julai lalu.
BERNAMA

Sadao (Selatan Thailand): Sebelum pandemik Covid-19 melanda, Pekan Danok di wilayah Sadao di selatan Thailand merupakan destinasi popular pilihan rakyat Malaysia untuk melancong, berhibur selain membeli pelbagai barangan.

Pekan Danok yang berjiran dengan Bukit Kayu Hitam biasanya sibuk dengan pelbagai aktiviti, namun kini sunyi dan lengang susulan penutupan pintu sempadan Thailand-Malaysia sejak Mac tahun lepas.

Premis perniagaan di pekan sempadan Thailand-Malaysia itu masih tutup meskipun kerajaan Thailand sudah membenarkan sektor perniagaan beroperasi.

Rata-rata ekonomi tempatan dan industri pelancongan di Pekan Danok yang bergantung kepada kedatangan warga asing, terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Ketiadaan pengunjung khususnya dari Malaysia dan Singapura menyebabkan restoran, kedai makan, pusat hiburan dan kedai urut terpaksa gulung tikar.

Melihat kejayaan Phuket Sandbox yang membenarkan pelancong lengkap dua dos vaksin Covid-19 mengunjungi pulau peranginan itu tanpa kuarantin, penasihat Persatuan Usahawan Danok Dr Suthiphong Sitthipataraprapha mencadangkan Pekan Danok dibuka khas kepada pengunjung dari Malaysia yang lengkap dua dos vaksin.

Jelasnya, Danok Sandbox boleh dimulakan dengan membenarkan kemasukan pelancong dari Malaysia memandangkan negara ini bakal mencapai imuniti kelompok menjelang Oktober, ia sekali gus membantu menghidupkan semula ekonomi tempatan di Pekan Danok.

Danok Sandbox satu projek perintis untuk membuka semula pekan atau bandar di sempadan kepada pelancong dan pengunjung asing.

"Pengunjung perlu menjalani ujian RT-PCR dalam tempoh 72 jam sebelum tiba di Pekan Danok. Mereka hanya boleh bergerak dalam lingkungan radius 2.7 kilometer dari sempadan dan hanya boleh tinggal di hotel terpilih di bawah Safety and Health Administration (SHA)," katanya kepada Bernama.

Jun lalu, Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha mengumumkan Thailand akan membuka semula sempadannya kepada pelawat antarabangsa dalam masa 120 hari atau menjelang pertengahan Oktober.

Selain Phuket Sandbox, Thailand turut melancarkan Samui Plus menyaksikan pelancong berpeluang mengunjungi Koh Samui, Koh Pha-ngan dan Koh Tao sejak 15 Julai lalu.

Phuket sudah menyambut 26,400 pengunjung sepanjang dua bulan pertama, bermula 1 Julai hingga 31 Ogos, selepas membuka pintu kepada pelancong dan menjana pendapatan bernilai 1.63 billon Baht.

Melalui program Samui Plus pula, pelancong berpeluang mengunjungi Koh Samui, Koh Pha-ngan dan Koh Tao.

Sejak dimulakan pada 15 Julai dan sehingga 31 Ogos lalu Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) memaklumkan program itu sudah menerima 918 pengunjung dengan 6,329 tempahan bilik, menghasilkan pendapatan 37.6 juta Baht.

Sebagai usaha untuk merangsang semula industri pelancongan, Thailand juga merancang membuka kembali lebih banyak destinasi pelancongan popularnya termasuk Bangkok dan empat wilayah lain iaitu Chonburi, Phetchaburi, Prachuap Khiri Khan dan Chiang Mai pada Oktober.

Sementara itu, Naib Presiden Majlis Industri Pelancongan Thailand wilayah Songkhla Aida Oujeh berharap kerajaan Thailand dapat mempercepatkan kempen vaksinasi di wilayah Songkhla, khususnya di Pekan Danok untuk membolehkan mencapai imuniti kelompok dalam tempoh terdekat.

"Setakat ini, suntikan vaksin Covid-19 di Pekan Danok hanya 30 hingga 35 peratus sahaja," katanya sambil menambah agar pemandu pelancong, pemandu teksi, tuk-tuk dan van pelancong harus diberi vaksinasi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 8:00 AM