PANTAI Karon di Phuket. FOTO AFP
PANTAI Karon di Phuket. FOTO AFP
Agensi

Bangkok: Pelancong asing yang tiba di Phuket, Thailand mulai 1 Julai depan tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib dengan syarat mereka sudah menerima suntikan vaksin.

Bloomberg melaporkan kerajaan Thailand membuat keputusan itu hasil perbincangan panel dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Prayuth Chan-Ocha dalam usaha memulihkan semula sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19

Menteri Pelancongan Phiphat Ratchakitprakarn berkata, Prayuth juga meluluskan cadangan sektor swasta dan perniagaan Phuket untuk menyuntik vaksin terhadap sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk pulau itu.

Ia bagi mempersiapkan pembukaan semula pulau itu kepada pelancong yang sudah diberi vaksin.

Untuk permulaan, Thailand merancang membuka kembali Phuket bagi menguji sejauh mana kesannya sebelum menerima kehadiran pelancong ke destinasi lain di negara itu termasuk Koh Samui.

Inisiatif itu bertujuan membantu membangunkan semula industri pelancongan yang menyumbang kepada satu perlima untuk ekonomi negara itu sebelum tercetusnya pandemik Covid-19.

Kelulusan kerajaan itu memberi isyarat bahawa Phuket akan dibuka semula tiga bulan lebih awal, berbanding seluruh negara yang dibuka sepenuhnya pada Oktober.

Presiden Persatuan Pelancongan Pulau Phuket, Bhummikitti Ruktaengam berkata, penduduk Phuket akan diberi keutamaan dalam pemberian suntikan vaksin, dengan lebih daripada 930,000 dos dijangka menerimanya, sebelum pulau itu dibuka kepada pelancong.

Sementara itu, Gabenor Lembaga Pelancongan Thailand, Yuthasak Supasorn menyasarkan sekurang-kurangnya 100,000 pengunjung ke Phuket pada suku ketiga tahun ini meskipun terdapat peningkatan jangkitan, pada awal tahun ini.

"Ada individu yang diberi vaksin sepenuhnya dan bersedia melakukan perjalanan namun mereka hanya akan memilih destinasi yang sudah memberi suntikan vaksin kepada penduduknya serta tidak mewajibkan kuarantin," katanya.

Sehingga kini, Thailand merekodkan 28,9477 kes Covid-19 dan 94 kematian.

Mulai 1 April lalu, kerajaan Thailand memendekkan tempoh kuarantin daripada dua minggu kepada 10 hari untuk pelancong asing yang tidak menerima vaksin.

Untuk destinasi selain Phuket, tempoh kuarantin itu menjadi lebih singkat iaitu seminggu bagi mereka yang memiliki bukti sudah menerima suntikan vaksin

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 6:05 AM