POLIS Filipina ketika perhimpunan taklimat kawalan keselamatan pilihan raya di Kem Tentera Aguinaldo,  Quezon City, Manila. Kira-kira 149,000 polis dan 98,000 anggota tentera dikerah mengawal keselamatan ketika pilihan raya pertengahan penggal Filipina, hari ini. FOTO EPA
POLIS Filipina ketika perhimpunan taklimat kawalan keselamatan pilihan raya di Kem Tentera Aguinaldo, Quezon City, Manila. Kira-kira 149,000 polis dan 98,000 anggota tentera dikerah mengawal keselamatan ketika pilihan raya pertengahan penggal Filipina, hari ini. FOTO EPA
Agensi

MANILA: Lebih 61 juta rakyat Filipina akan mengundi dalam pilihan raya pertengahan penggal hari ini, yang menampilkan kira-kira 43,000 calon untuk 18,000 jawatan dalam kerajaan.

Pilihan raya untuk 12 daripada 24 senator dewan perwakilan tertinggi dijangka mudah dimonopoli calon direstui Presiden Rodrigo Duterte bagi mencapai tujuannya, seperti mengubah perlembagaan, termasuk bagi mengembalikan hukuman mati.

Hasil tinjauan terbaru minggu lalu, menunjukkan 81 peratus rakyat berpuas hati dengan pemerintahan Duterte yang berjanji menghapuskan kemiskinan dan meningkatkan keamanan.

Pemerhati berpendapat, kemenangan sekutu Duterte akan mengurangkan kebebasan Senat, menghalangnya daripada menjadi pengimbang kepada kuasa presiden.

Calon senator Duterte bukan dari satu parti kerana selain anggota parti PDP-Laban pimpinannya, calon dari ‘gabungan banyak parti’ yang diuruskan anak perempuannya, Sara Duterte.

Antara calon menyokong Duterte termasuk Imee Marcos, Jinggoy Estrada, Ramon Revilla dan Juan Ponce Enrile dengan tiga nama terawal dijangka menang mudah berdasarkan tinjauan.

Imee ialah anak perempuan bekas Presiden Ferdinand Marcos yang menggelapkan AS$5 bilion (RM20.79 bilion) wang negara ketika memerintah pada 1965 hingga 1986.

Calon lain yang dijangka menang penggal terbaru senator ialah Grace Poe, Nancy Binay dan Lito Lapid - calon yang sudah popular tanpa memerlukan restu Duterte dan mereka bertanding bukan untuk kerajaan atau pembangkang.

Poe ialah anak perempuan dua bintang filem Filipina, bapa Binay ialah bekas naib presiden manakala Lapid pernah menjadi pelakon filem.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 8:14 AM