SEBUAH jeepney melintas di hadapan poster pilihan raya Duterte di Davao, semalam.
SEBUAH jeepney melintas di hadapan poster pilihan raya Duterte di Davao, semalam.
Agensi

Manila: Seorang calon pilihan raya Presiden Filipina berikrar akan membunuh anaknya jika mereka mengambil dadah.

Rodrigo Duterte, 71, yang mengetuai senarai calon popular untuk memenangi pilihan raya berkenaan berikrar akan menjadi presiden yang amat tegas jika terpilih dalam pengundian 9 Mei depan.

“Saya benar-benar marah. Mereka tuduh saya pembunuh. Mungkin juga,” katanya pada perbahasan terakhir di televisyen sebelum pilihan raya.

Ketika ditanya apa yang akan dilakukan jika seorang anaknya terbabit dalam dadah, Duterte, Datuk Bandar Davao, bandar raya yang terkenal kerana skuad sukarelawan pembunuh penjenayah menjawab: “Saya akan bunuh dia.”

Hasil kajian Pulse Asia yang diumumkan kelmarin menunjukkan Duterte berada di tempat teratas, mendahului calon lain.

Calon itu yang berikrar akan melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap suspek penjenayah menyaksikan sokongan terhadapnya meningkat daripada 27 peratus pada Mac kepada 33 peratus pada April, mendahului calon di tempat kedua, Senator Grace Poe, dua minggu sebelum pilihan raya.

Bagaimanapun, penganalisis memberi amaran, kenyataannya menghenai hasrat untuk memperkosa seorang mubaligh wanita warga Australia, mungkin menjejaskan peluangnya untuk menang, walaupun ia dibuat secara berseloroh.

Duterte mencetuskan kemarahan apabila mengulas mengenai kejadian pemerkosaan dan pembunuhan itu yang berlaku pada 1989 di penjara di bandarnya.

Dia dilapor memberitahu penyokongnya, mubaligh berkenaan terlalu cantik dan berharap menjadi orang pertama memperkosa mangsa sebelum dia dibunuh dalam rusuhan itu.

Dia kemudian mengancam memutuskan hubungan dengan Amerika Syarikat dan Australia selepas duta dua negara itu menyelar kenyataannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2016 @ 9:37 AM