MAR Roxas (tiga dari kiri) dan Leni Robredo (tiga dari kanan) yang akan bertanding untuk jawatan presiden dan naib presiden bersama Aquino (tengah) ketika pendaftaran calon di Manila, semalam.
MAR Roxas (tiga dari kiri) dan Leni Robredo (tiga dari kanan) yang akan bertanding untuk jawatan presiden dan naib presiden bersama Aquino (tengah) ketika pendaftaran calon di Manila, semalam.
AFP

Manila: Musim pilihan raya Filipina bermula semalam dengan ahli politik mendaftar untuk ribuan jawatan seterusnya memulakan sesi kempen selama beberapa bulan akan datang yang dijangka dipenuhi keganasan seperti lazim dialami di negara itu.

Pengganti Presiden Benigno Aquino bakal dipilih dalam pilihan raya diadakan setiap enam tahun itu, dengan calon utama termasuk seorang ahli politik veteran yang dikatakan bergelumang rasuah, anak angkat perempuan seorang bintang filem serta penyokong tegar parti pemerintah Liberal.

Aquino yang mendapat perhatian pemimpin dunia kerana usahanya menangani rasuah serta kepemimpinan dari segi ekonomi menggesa pengundi memilih penyokong kuatnya Mar Roxas untuk mengambil alih tugasnya.

Malangnya, tinjauan pendapat menunjukkan Roxas kurang mendapat sokongan dan berdepan cabaran sengit Jejomar Binay - naib presiden yang berdepan siasatan rasuah - dan Grace Poe yang kurang berpengalaman, tetapi menumpang populariti mendiang ayahnya.

Proses pendaftaran selama seminggu itu bermula semalam dengan lebih 18,000 jawatan untuk diisi - dari presiden hingga ketua kampung - bagi pilihan raya yang bakal diadakan Mei depan.

Binay - bekas penyokong Aquino yang kini mengetuai parti pembangkang utama - antara calon utama terawal mendaftar di ibu pejabat pilihan raya di Manila, pagi semalam.

Filipina - bekas koloni Amerika Syarikat (AS) dengan 100 juta penduduk - berusaha mewujudkan demokrasi stabil dengan kebanyakan masalah dihadapi negara itu didakwa berpunca daripada bekas pemimpinnya, Ferdinand Marcos yang memerintah dari 1965 hingga 1986.

Anak Marcos yang bertanding untuk jawatan naib presiden sebagai calon bebas menegaskan ayahnya pemimpin baik dan menganggap pengundi lebih mengambil kira masalah terkini berbanding isu lepas.

Keganasan juga bukan perkara baru dalam sistem demokrasi di Filipina apabila ada ahli politik menggunakan pelbagai cara untuk menghapuskan lawan atau mengubah jumlah undian.

Semalam, seorang datuk bandar sebuah bandar di Mindanao ditembak mati beberapa jam selepas memfailkan pencalonannya untuk dilantik semula.

Kenderaan dinaiki Randy Climaco bersama pengikut dan keluarganya di Tungawan menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian manakala empat rakannya cedera.

Pada 2009, 58 maut dibunuh dipercayai dalam usaha menghalang seorang calon mendaftar untuk bertanding jawatan gabenor. Walaupun ada antara keluarga Ampatuan yang didakwa terbabit kini dibicarakan bagi kes berkenaan, ramai lagi dalam kalangan mereka dijangka bertanding dalam pilihan raya kali ini.

Antaranya Sajid Ampatuan yang didakwa atas tuduhan bunuh, tetapi dibebaskan dengan jaminan tahun ini.

Satu lagi cabaran dihadapi adalah kuasa puak elit yang menguasai jawatan di peringkat kebangsaan, wilayah dan tempatan. Kedudukan mereka mampu dicabar golongan selebriti seperti bintang filem atau sukan.

Seorang daripadanya, peninju terkenal Manny Pacquiao, 36, yang kini anggota Dewan Rakyat tetapi bercadang bertanding untuk Dewan Senat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 6:46 AM