Datuk Bandar Davao, Rodrigo Duterte yang juga calon presiden Filipina (kiri) dan Jacqueline Hamill (kanan).
Datuk Bandar Davao, Rodrigo Duterte yang juga calon presiden Filipina (kiri) dan Jacqueline Hamill (kanan).
AP

Manila: Duta Australia dan calon presiden Filipina mengecam keras kenyataan seorang calon presiden negara itu ketika kempennya minggu lalu bahawa dia sebagai gabenor sepatutnya ‘mendapat peluang pertama’ merogol wanita Australia yang dirogol beramai-ramai dan dibunuh banduan ketika krisis tebusan di sebuah penjara di Davao, pada 1989.

Datuk Bandar Davao, Rodrigo Duterte, bercakap mengenai pembunuhan Jacqueline Hamill, 36, dan empat lagi mubaligh. Tentera menyerbu penjara selepas seorang tebusan lelaki dibunuh dan tebusan wanita dirogol. Semua 16 banduan terbabit mati serta lima daripada 15 tebusan.

“Apa yang saya fikirkan, mereka merogolnya, bergilir-gilir merogolnya. Kenapa saya marah - kerana dia dirogol? Ya, ia antara sebab, namun juga kerana dia amat cantik dan datuk bandar sepatutnya mendapat giliran pertama,” kata Duterte ketika berkempen Selasa minggu lalu.

Penyokongnya ketawa dan bersorak dan Duterte tersenyum seperti dapat dilihat di YouTube.

Duta Australia, Amanda Gorely, melalui Twitternya semalam, berkata rogol serta pembunuhan tidak wajar dipersendakan dan keganasan terhadap wanita tidak boleh diterima sepanjang masa dan di mana saja.

Saingan terdekat Duterte, Senator Grace Poe, berkata kenyataan Duterte itu amat tidak boleh diterima dan menggambarkan dirinya yang tidak menghormati wanita.

Timbalan Presiden Jejomar Binay berkata: “Anda orang gila yang tidak menghormati wanita dan tidak layak menjadi presiden.”

Duterte yang enggan memohon maaf, berkata: “Saya bercakap ketika marah (dengan kejadian tebusan itu), saya tidak bergurau. Saya kata, dia cantik seperti aktres. C****a, mereka kalahkan saya untuk mendapatkannya. Bunuh mereka semua.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 11:40 PM