GAMBAR yang diedarkan pejabat datuk bandar Davao semalam menunjukkan Duterte menangis ketika mengunjungi pusara bapanya di bandar Davao, Mindanao, selatan Filipina.
GAMBAR yang diedarkan pejabat datuk bandar Davao semalam menunjukkan Duterte menangis ketika mengunjungi pusara bapanya di bandar Davao, Mindanao, selatan Filipina.
AFP

Davao, Filipina: Bakal Presiden Filipina, Rodrigo Duterte semalam berikrar untuk membasmi jenayah selepas menang besar dalam pilihan raya umum negara itu.

Pesaing utama ahli politik berusia 71 tahun itu mengumumkan kekalahan masing-masing selepas pengiraan undian tidak rasmi menunjukkan Duterte jauh mendahului dengan memperoleh 6.1 juta undi.

Datuk Bandar Davao itu juga berikrar menggunakan penyelesaian ganas tetapi segera terhadap masalah jenayah dan kemiskinan di negara itu.

Duterte juga berjanji untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang sudah lama mencengkam masyarakat negara itu.

“Dengan rasa rendah hati, sangat rendah hati, saya menerima mandat rakyat ini.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat Filipina,” katanya di sini selepas keputusan tidak rasmi itu dikeluarkan pagi semalam.

Duterte juga mahu berdamai dengan pesaingnya sepanjang kempen yang sengit sehingga Presiden Benigno Aquino menggelar dirinya sebagai diktator dalam pembikinan dan bakal membawa ketakutan ke negara itu.

“Saya mahu menghulurkan tangan dan marilah kita memulakan proses pemulihan sekarang,” ujarnya.

Bagaimanapun, Duterte tetap berikrar meneruskan janji utamanya ketika pilihan raya iaitu membasmi jenayah di seluruh negara dalam tempoh enam bulan pemerintahannya serta menghapuskan rasuah.

Katanya, satu operasi berasaskan undang-undang dan ketenteraman yang menyasarkan penyalahgunaan dadah akan menjadi keutamaannya apabila menjadi presiden nanti dan dia juga bersedia untuk membunuh.

“Saya akan lakukannya (menentang dadah) walaupun mereka menuduh saya algojo,” jelasnya.

Kumpulan hak asasi manusia sebelum ini menuduh Duterte mengetuai satu skuad pembunuh penjenayah di Davao yang membunuh lebih 1,000 orang.

“Tengok apa yang saya lakukan di Davao. Saya tidak akan kecewakan rakyat,” tegasnya.

Duterte memperoleh 38.60 peratus undi manakala calon pentadbiran, Mar Roxas mendapat 23.42 peratus diikuti Senator Grace Poe dengan 21.65 peratus.

Di Filipina, calon yang memperoleh paling banyak undi dikira pemenang.

Presiden baru negara itu dijangka mengangkat sumpah 30 Jun ini.

Poe, anak angkat seorang bintang filem Filipina mengumumkan kekalahannya selepas tengah malam semalam dan Roxas pula selepas tengah hari.

“Jelas Duterte bakal menjadi presiden. Saya mengucapkan selamat berjaya,” kata Roxas kepada penyokongnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 8:16 AM