AQUINO (kiri) dan Roxas di satu majlis baru-baru ini.
AQUINO (kiri) dan Roxas di satu majlis baru-baru ini.

Manila: Presiden Benigno Aquino III semalam berkata, dia boleh bersara dengan senang hati kerana masa depan negara itu akan diketuai oleh orang paling layak menjadi pemimpin Filipina seterusnya.

Bercakap di satu majlis untuk calon Parti Liberal, Mar Roxas, Aquino berkata: “Sebelum ini saya tidak terbayang akan bersara pada usia 56 tahun.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pemimpin parti ini yang menyokong saya untuk menjadi presiden dan seterusnya sepanjang saya memimpin Filipina.

“Saya yakin orang yang menggantikan saya selepas ini akan meneruskan perubahan ke arah kemakmuran dan mencapai lebih banyak kejayaan,” katanya, merujuk kepada Setiausaha Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan, Mar Roxas, yang akan bertanding dalam pilihan raya presiden negara itu tahun depan.

Presiden Filipina itu baru-baru ini secara terbuka menyokong pencalonan Roxas walaupun kaji selidik terbaru menunjukkan dia ketinggalan di belakang Senator Grace Poe.

Grace dikatakan terlalu mentah untuk menjadi presiden.

Seorang lagi calon yang dipercayai akan memberi tentangan sengit dalam pilihan raya berkenaan, Jejomar Binay, dikatakan tidak mempunyai kemampuan untuk menyelesaikan masalah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 9:54 AM